INI 7 Perkara Yang Boleh Buat Anda 'Sangkut' Dengan Yamaha NMax ABS!

Sebagai info, Yamaha NMax ABS yang berada di pasaran Malaysia ketika ini adalah yang terbaharu di pasaran global dan generasi ketiga model popular berkenaan

REVIU

2/7/20263 min read

YAMAHA NMax mungkin tidak sepopular 'saudaranya' yang bergaya 'Sporty' Yamaha NVX di pasaran tempatan tetapi skuter dengan penampilan 'formal' ala skuter maxi ini tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Mendarat di pasaran Malaysia pada Januari lalu dengan nama Yamaha NMax ABS, kehadirannya sedikit mengecewakan kerana ia tidak datang dengan spesifikasi tertinggi yang memiliki sistem ala 'turbo' seperti ditawarkan di beberapa negara jiran.

Tetapi, generasi ketiga ini yang mengalami pelbagai pembaharuan khususnya membabitkan rekaan tetap mempunyai 'aura' dan kelebihan tersendiri yang membuatkannya kekal relevan di pasaran.

Beberapa bulan selepas pelancarannya, kami akhirnya berpeluang untuk menunggang skuter ini selama beberapa hari oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dan berikut adalah pandangan kami mengenainya.

Rekaan 'Segar', Eksklusif, Tapi...

Sebagai model 'Gen' baharu, antara perkara yang 'wajib' berubah adalah rekaan dan untuk generasi ketiga Yamaha NMax ABS, perubahan yang dibuat memang menjadikannya lebih 'segar' namun bagusnya, tidak mengubah identiti 'NMax' itu sendiri sebagai model ala-maxi.

Tampil dengan rekaan lampu depan dan belakang LED baharu, ia menampakkan skuter ini lebih agresif. Tetapi daripada maklum balas berbeza yang kami diterima, ada juga yang tidak begitu menggemari rekaan lampu depan yang nampak sedikit 'alien'.

Praktikal, Lincah, Senang 'Selit' Waktu Sesak

Dari sudut saiz, Yamaha NMax ABS memang 'ngam-ngam'. Tidak terlalu besar seperti skuter maxi, tidak terlalu kecil. Saiznya membuatkan penunggang mudah mencelah di celah kesesakan trafik dengan baik.

Jalan Jauh Pun 'Steady'

Sesuai untuk kegunaan harian, tapi kalau tiba-tiba ada kawan ajak konvoi hujung minggu atau balik kampung, Yamaha NMax memang berupaya melakukannya dan buktinya memang banyak. Posisi tunggangan yang selesa dan enjin berpenyejuk cecair memastikan jentera tidak semput untuk perjalanan jauh.

Dipadankan dengan enjin 155 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, SOHC, ia menghamburkan 15.1 Hp pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm. Selepas diuji, enjin ini bukan sekadar menjimatkan, tetapi juga memberi kuasa yang cukup ketika diperlukan. Teknologi Variable Valve Actuation (VVA) memastikan ia responsif, bila bergerak perlahan di kawasan bandar, ia kekal lancar, dan bila perlu memecut di lebuh raya, kuasa tambahan terus terasa. Seimbang.

Kuasa Membrek Mantap, Ada TCS

Dengan ABS 2 saluran, ia jelas memberi keyakinan tambahan ketika membrek, terutama di jalan Malaysia yang kadang-kadang licin atau basah. Dengan sistem ini, risiko tayar terkunci juga kurang dan bahasa lebih mudah, selamat.

Untuk tunggangan harian yang sering berdepan trafik padat, ciri ini serta (Sistem Kawalan Cengkaman) TCS sangat praktikal kerana ia mengurangkan risiko kemalangan.

Apa 'Barang' Kunci Mekanikal

Pada zaman moden, sistem 'Smart key' boleh dikatakan keperluan. Ia jelas memudahkan hidup - tak perlu keluarkan kunci setiap kali nak hidupkan enjin. Dan seperti diketahui, sistem kunci pintar Yamaha memang terbaik di pasaran, responsif. Selain itu, port USB pula sangat berguna untuk mengecas telefon ketika tunggangan jauh atau kepada yang memerlukan.

Tunggangan Selesa untuk Penunggang & Pembonceng

Sebagai skuter dengan gaya ala-maxi, Yamaha NMax memiliki pelana yang lebar dengan span yang dibekalkan boleh dikatakan cukup tebal. Dari sudut tunggangan, ia memang santai. Selain itu, pembonceng juga mendapat pelana yang luas dengan posisi kaki selesa, menjadikan ia sesuai untuk perjalanan berdua, sama ada ke tempat kerja atau tunggangan santai hujung minggu.

Praktikal, Lampu Terang!

Apa yang pasti, ruang simpanan 25 liter di bawah tempat duduk adalah satu kelebihan kerana helmet 'full-face' boleh muat (saiz kecil), malah ada ruang untuk barang harian seperti beg kecil atau barangan kerja. Ini menjadikan NMax lebih praktikal, sesuai untuk mereka yang mahu gaya ala-maxi tetapi tetap ringkas untuk kegunaan bandar.

Lampu projektor LED depan bukan saja membuatkan skuter ini nampak bergaya, tetapi juga memberi pencahayaan terang terutama ketika waktu malam atau hujan. Semua lampu menggunakan LED, jadi lebih tahan lama dan jimat tenaga. Untuk penunggang yang sering bergerak malam atau awal pagi, ini memberi rasa lebih selamat dan yakin.

Penutup

Apa yang pasti, Yamaha NMax ABS bukan sekadar skuter ala maxi yang kompak, tetapi turut hadir dengan praktikaliti yang menggabungkan kuasa, keselamatan, dan keselesaan. Sesuai untuk kegunaan harian, cukup bergaya untuk tampil moden, dan selesa tidak kira penunggang serta pembonceng.