INI Adalah Hasil Kerja Keras Kami - Marco Bezzecchi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/26/20251 min read

MARCO Bezzecchi mengakui dia sedar yang dia akan 'bergelut' sejurus membuat keputusan untuk menyertai Aprilia dan segala kerja kerasnya memerlukan masa sebelum membuahkan hasil.

Dan selepas tujuh pusingan, pelumba kelahiran Itali itu berjaya 'menuai' hasilnya dengan menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) British 2025 yang berlangsung penuh drama, semalam.

Ia adalah kemenangan pertama pelumba berusia 26 tahun sejak kali terakhir mencapainya di GP India pada 2023 selain kemenangan pertama sebagai pelumba pasukan 'kilang' Aprilia.

"Pertama sekali ia adalah keputusan yang sukar (menyertai Aprilia dengan meninggalkan VR46 Ducati) tetapi saya fikir sudah tiba masanya untuk saya mencari cabaran baharu," kata Bezzecchi memetik laporan Crash.net.

"Saya benar-benar mahu menjadi pelumba pasukan 'kilang', jadi apabila Aprilia memberikan saya peluang saya memutuskan untuk mengambil babak baharu ini.

"Pada akhirnya, saya tidak menetapkan semula mentaliti atau sasaran saya. Saya hanya tahu yang ia akan mengambil masa dan memerlukan usaha.

"Saya hanya cuba untuk tidak mengalah, sekali pun jika segala-galanya nampak menyedihkan kerana kami mengharungi beberapa hari yang mengecewakan. Tetapi pada akhirnya, kerja adalah kerja, kami berjaya untuk mendapat beberapa keputusan yang baik. Jadi ini adalah keputusan atas usaha itu."

Selain kemenangan, Bezzecchi turut meraih tempat ke-4 dalam Perlumbaan Sprint di Silverstone.

Pelumba kelahiran Itali itu berkata, keseluruhan pasukan Aprilia harus berbangga dengan kejayaan yang diperolehnya selepas mereka mengharungi tempoh sukar terutama kecederaan yang melanda penyandang juara dunia, Jorge Martin.

Dan terbaharu, bekas pelumba Pramac Ducati itu turut mencetus kontroversi apabila dilaporan sedang mencari jalan untuk meninggalkan pasukan itu menerusi klausa kontraknya.

"Dia (Martin), saya tidak mahu kata sebagai pelumba utama, tetapi hampir kerana dia adalah juara dunia. Jadi ia bukan permulaan yang mudah buat mereka," kata Bezzecchi.

"Tetapi daripada sudut saya, saya hanya cuba untuk bekerja sekuat yang mungkin untuk memberikan mereka (Aprilia) apa yang mereka patut dapat."