'INI Baru Hari Pertama'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/5/20251 min read

PELUMBA Monster Yamaha, Fabio Quartararo melakukan 54 pusingan pada hari pembukaan ujian pra-musim 2025 di Sepang, hari ini dan melakukan catatan terpantas pada pusingan ke-50.

Sebagai pelumba Yamaha yang mendapat manfaat peraturan konsesi, hari ini bukan kali pertama juara dunia MotoGP 2021 itu menguji jentera Yamaha M1 miliknya apabila turut mengambil bahagian ketika ujian 'Shakedown' yang berlangsung lebih awal.

Secara keseluruhan, pelumba kelahiran Perancis itu berkata dia memperoleh hari pertama ujian yang positif.

"Pada asasnya kami hanya menguji beberapa sistem elektronik hari ini, beberapa tetapan yang sudah banyak kami uji semasa Shakedown, ia hanya pengesahan semula," kata Quartararo.

"Ia hari yang baik untuk kami, terutama untuk para jurutera untuk mengetahui lebih baik arah yang kami perlu pergi.

"Saya tidak mahu menjadi terlalu positif sejak awal. Saya fikir kami bekerja dengan cara yang baik. Ia hanya hari pertama ujian dan kami juga perlu melihat orang lain.

"Kami boleh melihat yang ramai yang amat pantas pada hari pertama, tetapi kami sudah tiga hari di sini. Jadi kami perlu menjadi neutral dan cuba untuk bekerja dengan baik dan kami akan lihat di mana kedudukan kami di Thailand."

Quartararo dalam pada itu turut mendedahkan 'rahsia' perkataan 'smooth' (lancar) yang dilihat di panel 'dashboard' jentera Yamaha M1 miliknya ketika ujian di Sepang.

"Naluri saya di atas litar adalah untuk berusaha sekeras yang mungkin dan benar-benar memaksima semua masa bersama jentera," katanya memetik laporan Crash.net.

"Tetapi kadang kala merasa perlahan menjadikan kamu lebih laju, jadi ini (Smooth) sentiasa ada di 'dashboard' saya, yang membuatkan saya untuk sentiasa tenang di atas jentera."