'Ini Baru Pusingan Pertama'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/24/20251 min read


PELUMBA negara, Syarifuddin Azman kekal dengan nada yakin sekalipun penampilan sulungnya di pentas WorldSSP Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 pada minggu lalu di Australia tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.
Pelumba pasukan PETRONAS MIE Honda Racing itu pada pusingan pembuka tirai di Litar Phillip Island semalam tampak bergelut untuk memberi saingan sebelum terpaksa menamatkan kedua-dua perlumbaan tanpa sebarang mata.
Pada Perlumbaan 1, bekas pelumba Moto3 negara itu menamatkan saingan di tempat ke-17 sebelum melepasi garisan penamat Perlumbaan 2 di kedudukan ke-19.
Pelumba yang dikenali sebagai Damok itu mengakui dia bergelut untuk mengadaptasi dengan peraturan perlumbaan di WSBK antaranya situasi 'flag to flag' (peraturan menukar jentera mengikut keadaan cuaca) pada Perlumbaan 1.
Dan pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu percaya keputusan lebih baik mampu dicapai pada pusingan seterusnya selepas mendapat 'input' di Australia.
"Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas segala kerja keras pada minggu ini," kata Damok. "Kami mencuba banyak perkara baharu ketika ujian pra-musim dan sepanjang minggu ini dan saya secara beransur-ansur dapat mengadaptasi dengan jentera dan merasa lebih selesa.
"Jadi saya gembira dengan kerja yang kami lakukan setakat ini. Ini adalah keputusan yang saya dapat tetapi ini baru pusingan pertama dan musim pertama saya dalam WorldSSP.
"Saya tidak sabar untuk menghadapi pusingan kedua di mana kami akan melakukan yang terbaik untuk melakukan peningkatan."
Berbeza dengan Damok, rakan sepasukanya dari Jepun, Kaito Toba yang beraksi pada musim keduanya di WorldSSP berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan dalam pungutan mata.
Pada Perlumbaan 1, bekas juara Asia Talent Cup (ATC) dan pernah berlumba di pentas Moto3 dan Moto2 itu di tempat ke-14 dan memperbaiki kedudukan itu selepas menamatkan Perlumbaan 2 tempat ke-9.
Sebagai info, pusingan kedua WSBK dijadual berlangsung di Portimao, Portugal pada 28 hingga 30 Mac depan.
