INI Lumrah Perlumbaan, Hakim Danish Enggan Ratapi 'Duka' Di Balaton Park

Hakim Danish jelas enggan terus meratapi nasib malang di Litar Balaton Park dan pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu memilih untuk melihat insiden yang terjadi kepadanya dari sudut yang lebih positif

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/8/20261 min read

KEKECEWAAN menamatkan perlumbaan pada Grand Prix (GP) Hungary 2026 dengan status DNF sama sekali tidak mematahkan semangat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, sebaliknya prospek berusia 18 tahun itu menyifatkan apa yang terjadi kepadanya sebagai asam garam sukan permotoran.

Enggan terus meratapi nasib malang di Litar Balaton Park, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu memilih untuk melihat insiden yang terjadi kepadanya dari sudut yang lebih positif dan matang.

"Sudah tentu saya agak kecewa kerana tidak dapat menghabiskan perlumbaan hari ini selepas terjatuh pada pusingan awal akibat insiden dengan pelumba lain yang melanggar saya dari arah belakang.

"Namun, inilah lumrah perlumbaan. Kadangkala perkara di luar jangkaan boleh berlaku dan kami perlu menerimanya sebagai sebahagian daripada sukan ini," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Pada perlumbaan semalam, Hakim yang memulakan saingan dari petak ke-19 menjadi mangsa keadaan seawal pusingan pertama apabila jenteranya dirempuh dari belakang oleh pelumba Afrika Selatan, Ruche Moodley.

Pelanggaran itu mengakibatkan Hakim terjatuh dan jenteranya mengalami kerosakan. Begitupun, dia mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila bangun dan membawa jenteranya ke pit untuk dibaiki sebelum kembali ke litar.

Tetapi dia akhirnya terpaksa akur menarik diri pada pusingan ke-12 dan diklasifikasikan sebagai DNF (Did Not Finish).

Menyentuh mengenai prestasi keseluruhannya, Hakim mengakui saingan hujung minggu di bumi Hungary memberikan cabaran yang berbeza, terutama apabila ia merupakan penampilan sulungnya di litar berkenaan.

"Secara keseluruhan, hujung minggu di Hungary ini memang agak mencabar buat saya. Masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki dari segi tunggangan dan pemahaman terhadap litar.

"Saya akan mengambil pengalaman ini sebagai satu pengajaran yang sangat berguna untuk membantu saya berkembang sebagai pelumba dan tampil lebih baik pada masa hadapan. Saya bersama pasukan akan terus bekerja keras dan meneruskan program latihan seperti biasa bagi membuat persiapan terbaik," katanya.

Fokus Hakim Danish selepas ini akan terarah kepada cabaran pusingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Grand Prix Republik Czech.