'INI Memang 'Rancangan' Ducati'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/23/20251 min read

FRANCESCO Bagnaia berpandangan situasi di puncak MotoGP ketika ini adalah 'ciptaan' Ducati iaitu dengan meletakkan dua pelumba yang mampu menjuarai gelaran dunia menerusi kehadiran Marc Marquez.

Setakat ini, pasukan 'kilang' Ducati Lenovo masih belum dikalahkan dengan Marquez menjuarai kesemua Perlumbaan Sprint dan 3 perlumbaan Grand Prix (GP) dengan Bagnaia menjuarai perlumbaan GP di Amerika Syarikat.

Marquez ini menghuni carta teratas kedudukan pelumba dengan Bagnaia di tangga ketiga dan dibezakan 26 mata menuju Pusingan 5 kejuaraan di GP Sepanyol di Jerez, hujung minggu ini.

Buat Ducati, ini kali pertama pasukan itu mempunyai dua pelumba yang boleh diharapkan menjuarai gelaran dan Bagnaia mengakui ia adalah sesuatu yang cuba dilakukan pasukan itu selepas dia tewas kepada Jorge Martin musim lalu.

"Saya fikir apa yang Ducati cuba lakukan adalah untuk mencipta situasi kerana pada tahun lalu kami kehilangan kejuaraan kerana saya melakukan kesilapan," kata Bagnaia kepada TNT Sports.

"Apabila kamu kuat dan kamu memenangi 18 perlumbaan pada satu musim dengan Perlumbaan Sprint, dan kemudian kamu tewas kejuaraan, ia adalah sesuatu yang aneh untuk dijelaskan.

"Dan saya adalah orang yang kehilangannya kerana saya sentiasa berada di sana, sentiasa bersaing untuk menang, dan beberapa kali kami terjatuh atau kami berdepan masalah apabila saya mendahului atau bersaing kedudukan teratas.

"Jadi ia memerlukan masa yang lama untuk menerimanya kerana saya tahu yang ia adalah 100 peratus salah saya dan saya cuba untuk memperbaikinya."

Bagnaia mengakui penting untuknya untuk bersaing merebut kejuaraan sekali lagi.

"Saya tahu musim ini pasti sukar, pertarungan dengan Marc pasti sukar. Tetapi jika saya menang, ia menakjubkan. Jadi saya perlu terus bekerja seperti ini."

Di sebalik 'tekanan' di garaj Ducati Lenovo, Bagnaia menegaskan suasananya ketika ini masih 'hebat'.

"Saya fikir ia ketika ini tidak penting. Saya fikir kami melakukan kerja yang berpasukan yang baik. Kami sentiasa bercakap bagaimana untuk bertambah baik ketika minggu perlumbaan, dan Marc sudah pasti mengadaptasi situasi dengan amat baik, mengikut strategi pasukan dan suasananya masih amat hebat di dalam garaj.

"Jadi bagus seperti ini, hebat untuk mempunyai pelumba seperti Marc."