INI Pengeluar Pilihan Pedro Acosta Jika Tinggalkan KTM

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/2/20251 min read

PEDRO Acosta didakwa sudah mempunyai destinasi pilihan jika dia meninggalkan KTM, lapor media di Itali.

Pelumba Sepanyol itu, seperti dilaporkan sebelum ini tidak lagi menyembunyikan kekecewaannya terhadap tahap kompetitif jentera KTM terutama pada kempen musim ini.

Dianggap sebagai pelumba yang dicanang mempunyai potensi seperti Marc Marquez dengan dua gelaran dunia sudah menjadi miliknya, kesabaran pelumba berbakat itu jelas tidak tebal.

Dan dengan reputasi yang dimilikinya, Acosta jelas tidak sukar untuk memikat pasukan lain tetapi menurut laporan Sky Italia, pelumba itu hanya berminat dengan hanya satu pengeluar iaitu Ducati.

"Dia tidak bersedia untuk menerima sebarang jalan penyelesaian lain," kata penyiar televisyen itu.

Perkembangan terbaharu ini jelas satu perkhabaran buruk buat Honda yang turut dikaitkan dengan pelumba berkenaan.

Apa yang menarik, bos Ducati Corse, Gigi Dall’Igna sebelum ini mengakui mengakui kagum dengan kemampuan Acosta.

Ducati pada musim depan memiliki satu kekosongan di pasukan satelitnya, VR46 Ducati dan memiliki kemampuan untuk menawarkan jentera berstatus 'kilang' jika benar-benar berminat.

"Keputusan mengenai masa depannya mungkin ditentukan amat lewat," kata laporan itu lagi.

Honda yang turut dikaitkan dengan Jorge Martin sebelum ini menegaskan mereka tidak mahu mendapatkan pelumba yang masih memiliki kontrak dan sekali pun memiliki 'kekuatan' kewangan, pakej yang dimiliki mereka belum benar-benar mampu meyakinkan Acosta.

Sekali pun kecewa, Acosta sebelum ini pernah menegaskan dia tidak mahu melanggar kontraknya dengan KTM dan pelumba itu 'terikat' bersama pengeluar Austria itu sehingga 2026.

KTM baru-baru ini mendapat suntikan dana daripada Bajaj Auto bagi menyelesaikan masalah kewangannya tetapi masih belum memberi sebarang kenyataan membabitkan komitmen mereka terhadap perlumbaan.