INI Sebab Marc Marquez 'Tak Suka' Perlumbaan Sprint!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/27/20251 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez mendedahkan kesukaran untuk mengawal emosi ketika meraih menjurai Perlumbaan Sprint membuatkannya 'tidak menggemari' perlumbaan pada Sabtu itu.

Juara dunia lapan kali itu tampil dengan prestasi cemerlang apabila menyapu bersih kelima-lima Perlumbaan Sprint yang ditawarkan pada musim ini hasil kemenangan di Grand Prix Sepanyol di Jerez, semalam.

Kejayaan itu menyaksikan Marquez mencipta satu lagi rekod baharu di MotoGP apabila menjadi pelumba meraih kemenangan Perlumbaan Sprint secara berturut-turut paling banyak mengatasi rekod milik Jorge Martin iaitu empat pada 2023.

"Hari ini tidak mudah, terutama dengan keadaan suhu yang banyak merubah perasaan ketika menunggang, tetapi saya sudah menjangkakannya," kata Marquez yang memulakan perlumbaan di petak kedua.

"Saya sedikit bergelut pada penghujung perlumbaan tetapi saya dapat mengawalnya.

"Saya boleh katakan ia sama seperti semua perlumbaan pada Sabtu. Saya tidak menyukai Perlumbaan Sprint kerana saya amat gembira tetapi saya mahu mengawal emosi saya kerana perlumbaan (Ahad) yang paling penting.

"Tetapi di depan penonton, kamu mempunyai kuasa tambahan ini."

Selepas memintas pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo yang memulakan perlumbaan di petak kedua di pusingan kedua, Marquez tidak lagi menoleh ke belakang dan menamatkan perlumbaan sebagai juara.

"Seperti yang saya lakukan pada Perlumbaan Sprint lain, saya cuba memberikan tekanan sekuat mungkin pada awal perlumbaan dan mengawal kedudukan pada babak kedua perlumbaan," katanya kepada MotoGP.com.

Marquez dalam pada itu terus menjangkakan Quartararo serta dua lagi pemenang podium di Jerez, Alex Marquez dan Francesco Bagnaia akan bersaing sengit bagi merebut gelaran juara pada perlumbaan utama.