INSIDEN 'Ducati Lenovo Race Of Champion', Nicolo Bulega Buka Mulut!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/7/20241 min read
PELUMBA pasukan WorldSBK Aruba.it Racing - Ducati, Nicolo Bulega mendapati dirinya terpalit kontroversi susulan kemalangan membabitkan Marc Marquez ketika perlumbaan Ducati Lenovo Race of Champioan 2024, baru-bari ini.
Susulan kemalangan di Misano itu, Bulega tercampak ke batuan kerikil dan terpaksa dibawa menjalani ujian perubatan namun disahkan tidak mengalami kecederaan serius.
Tetapi, kemalangan pada perlumbaan pertunjukan yang membabitkan 15 pelumba-pelumba Ducati yang berlumba di MotoGP, WSBK dan BSB menggunakan Ducati Panigale VRS generasi terbaharu itu mendapat liputan meluas.
"Saya tidak mahu menambahkan lagi kontroversi, kerana pada pandangan saya ia sudah terlalu banyak," kata Bulega memetik laporan GPOne.
"Malam Sabtu selepas perlumbaan, Marc datang mencari saya di 'box' pasukan, tetapi saya sudah pun pulang ke rumah selepas dirawat di pusat perubatan.
"Selepas itu, dia memberikan saya mesej meminta maaf dan berkata malangnya dia melakukan kesilapan. Bagi saya, perkara itu sudah pun ditutup.
"Malah, biar saya menjadi wartawan dan bertanya kepada kamu; Kamu fikir jika juara dunia lapan kali berfikir dia tidak melakukan sebarang kesilapan, dia akan memberikan saya helmetnya?
"Saya fikir helmet itu adalah jawapannya."
Bulega dalam pada itu turut memberi perincian mengenai keadaannya selepas mendapatkan rawatan di hospital.
"Saya tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius di bahu saya, hanya lebam pada bahagian sendi, jadi saya perlu menjalani terapi dan pemulihan."
Bulega yang bergandingan dengan Alvaro Bautista di WorldSBK akan kembali ke litar pada minggu ini bagi aksi Pusingan 7 WSBK 2024 di Portimao, Portugal.