INSIDEN Hafizh, Zaqhwan 'Panaskan' ARRC Sepang, 3 Gelaran Diraih Pelumba Negara!

Tiga gelaran juara - ASB1000, SS600 dan UB150 sekali lagi berjaya dibawa pulang pelumba negara dalam aksi penuh mendebarkan pada Perlumbaan 2 Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS hari ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/12/20252 min read

TIGA gelaran juara sekali lagi berjaya dibawa pulang pelumba negara dalam aksi penuh mendebarkan pada Perlumbaan 2 Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS hari ini.

Seperti Perlumbaan 1 semalam, kemenangan diraih dalam kelas ASB1000, SS600 dan UB150.

Dalam kelas elit ASB1000, pelumba pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar, muncul juara selepas insiden kontroversi membabitkan dua pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Md Zaqhwan Zaidi.

Lebih mengecewakan, kemalangan yang berlaku di selekoh sembilan itu terjadi di pusingan terakhir dengan kedua-duanya berada di kedudukan pendahulu.

Ketika ditemui selepas perlumbaan, Azroy mengakui situasi itu pasti mengecewakan kedua-dua rakan senegaranya itu tetapi ia adalah lumrah perlumbaan.

“Saya fikir ia adalah insiden perlumbaan,” kata Azroy ketika ditanya mengenainya.

Insiden itu tercetus apabila Zaqhwan yang juga rakan sepasukan Azroy cuba memintas Hafizh dari dalam namun Hafizh yang cuba memasuki selekoh menyaksikan berlakunya pelanggaran di antara mereka.

Kemalangan itu menyebabkan mereka terjatuh, sekali gus membuka laluan buat Azroy untuk meraih kemenangan penting di Malaysia.

Insiden itu turut menyaksikan podium ASB1000 dikuasai sepenuhnya oleh jentera Honda, dengan pelumba Honda Racing Thailand, Nakarin Atiratphuvapat meraih tempat kedua dan pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar ketiga.

“Selepas perlumbaan yang sukar semalam, hari ini saya dapat tempat pertama sekali lagi dan ini dicapai disebabkan oleh pasukan saya dan sesuatu berlaku kepada pendahulu perlumbaan,” kata Azroy.

“Saya hilang cengkaman tayar belakang pada awalnya dan jatuh ke tempat keempat. Tapi keyakinan saya meningkat pusingan demi pusingan. Selepas melepasi Nakarin, saya tahu saya ada peluang. Bila saya lihat pelumba belakang ketinggalan dua saat, saya fikir lebih baik dapat tempat ketiga daripada terjatuh. Syukur saya berjaya.”

Syarifuddin & Afif turut harumkan nama negara

Dalam kelas SS600, Syarifuddin Azman juga dari pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia sekali lagi tampil cemerlang untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama sekali gus mengulangi kemenangan yang diraihnya pada Perlumbaan 1.

Dan menariknya, kemenangan itu seperti membuktikan yang keputusannya untuk memilih beraksi di ARRC berbanding di WSBK di Estoril, Portugal berbaloi.

Seperti semalam, pelumba yang dikenali sebagai Damok itu menunggu di saat akhir sebelum memintas pendahulu perlumbaan, Kasma Daniel Kasmayudin dari Hong Leong Yamaha Racing yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Sementara itu, Ahmad Afif Amran yang beraksi bersama pasukan Pitsbike Superfast JRT Racing sekali lagi menawan kelas UB150 dengan keputusan turut terpaksa ditentukan dengan 'photo finish'.

Dan menariknya, Afif turut dilihat berang dengan tindakan pelumba Indonesia, Fahmi Basam yang cuba menghimpitnya di laluan lurus dan membuat aksi ala 'kung fu' sejurus melepasi garisan penamat.

Podium Perlumbaan 2 Pusingan 5 ARRC 2025 Malaysia

ASB1000

  1. Azroy Hakeem Anuar (MAS) Idemitsu Honda Racing Malaysia, Honda

  2. Nakarin Atiratphuvapat (THA) Honda Racing Thailand, Honda

  3. Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing, Honda

SS600

  1. Md Syarifuddin Azman (MAS) Idemitsu Honda Racing Malaysia, Honda

  2. Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Racing, Yamaha

  3. Md Adenanta Putra (INA) Astra Honda Racing, Honda

AP250

  1. Fadillah Arbi Aditama (INA) Astra Honda Racing Team, Honda

  2. Mohammad Murobbil Vitoni (INA) Yamaha LFN HP969 Indonesia, Yamaha

  3. Irfan Ardiansyah (INA) MAEZTRO NWN SCK Honda Racing, Honda

UB150

  1. Ahmad Afif Amran (MAS) Pitsbike Superfast JRT Rapido Racing, Yamaha

  2. Fahmi Basam (INA) Yamaha LFN HP969 Indonesia Racing, Yamaha

  3. Md Syirat Sauki (INA) 4S1M Evo Yamaha Racing, Yamaha