INSIDEN Pecco, Alex, FIM Kata 'Tiada Tindakan Susulan'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/2/20241 min read


TIADA tindakan susulan. Itu keputusan Steward MotoGP FIM terhadap insiden membabitkan Francesco Bagnaia dan Alex Marquez ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix Aragon 2024, semalam.
Dalam perlumbaan yang menampilkan dominasi juara dunia lapan kali Marc Marquez itu, Bagnaia yang sekali lagi mengharungi permulaan buruk berdepan kemalangan ngeri dengan Alex di selekoh ke-13 berbaki lima pusingan yang menyaksikan kedua-duanya terkeluar daripada perlumbaan.
Pelumba Ducati Lenovo, Pecco yang ketika itu berada di garisan perlumbaan dan berjaya memintas Alex dirempuh daripada belakang yang menghantar kedua-dua pelumba dan jentera ke kawasan batu kerikil.
Lebih menakutkan, Bagnaia turut dilihat 'tersekat' di bawah jentera pelumba Gresini Ducati, Alex namun kemudian dilihat berjaya bangkit.
Insiden itu seperti kebiasaan disiasat oleh pihak Steward FIM dengan turut menemui kedua-dua pelumba terbabit dan keputusan siasatan adalah 'Tiada tindakan lanjut.'
Menurut FIM, selain menemubual kedua-dua pelumba dan mendengar penjelasan mereka terhadap insiden itu daripada perspektif masing-masing, mereka turut menilai beberapa perkara termasuk rakaman video, sumber gambar dan data jentera.
Kedua-dua pelumba menjelaskan tahap cengkaman di litar ketika itu teruk, dan bagi Steward FIM ia menjadi faktor yang menyumbang kepada kemampuan pelumba-pelumba untuk mengelak daripada membuat sentuhan.
Dan sebagai kesimpulan selepas mempertimbangkan semua faktor, dan tanpa faktor bukti konklusif, Steward MotoGP FIM memutuskan tiada penunggang yang perlu bertanggungjawab terhadap insiden itu.
