INSIDEN Ranap Misi Hakim Danish Di Misano
Situasi malang yang menimpa dua pencabar utama, Hakim Danish dan Veda Pratama menyaksikan Brian Uriarte dari Sepanyol mengesahkan gelaran keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 lebih awal
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/13/20251 min read


HARAPAN pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk menghalang Brian Uriarte daripada mengesahkan gelaran keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 lebih awal tidak kesampaian apabila berdepan dia kemalangan yang memaksanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.
Pada Perlumbaan 1 pusingan terakhir RBMRC musim ini itu di Misano, Itali, Hakim Danish menampilkan persembahan baik apabila sentiasa berada di kelompok utama sebelum terbabit dengan insiden antara pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama dan pelumba Kyrgyzstan, Yaroslav Karpushin.
Sekalipun tidak terjatuh seperti Vega dan Karpushin, situasi yang berlaku ketika perlumbaan berbaki 4 pusingan itu mengakibatkan pelumba berusia 18 tahun itu 'tersekat' dan kehilangan banyak masa.
Dan kebangkitan yang diharapkan tidak menjadi kesampaian apabila pelumba kelahiran Terengganu itu kekal di kedudukan ke-10 pada baki perlumbaan.
Begitupun, keputusan perlumbaan selepas Veda tidak dapat meneruskan perlumbaan menyaksikan Hakim Danish merampas tempat kedua keseluruhan berbaki satu lagi perlumbaan, esok.
Dalam pada itu, kemenangan menyaksikan mata yang dikumpul Uriarte tidak lagi boleh dikejar oleh pesaing terdekat, sekaligus menamatkan musim sebagai juara Rookies Cup 2025.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu kini menyamai rekod kemenangan Angel Piqueras dan dijangka menjadi prospek hangat untuk kempen Moto3 musim depan.
Sementara itu, Marco Morelli dari Argentina di tempat kedua, manakala pelumba Jepun Zen Mitani melengkapkan podium di tempat ketiga.
