ISI Kelompok Belakang Hari Pertama Catatan Masa Di WSBK 2024 Barcelona, Adam, KIP Kekal Optimis

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/23/20241 min read

ADAM Norrodin sekali lagi menghuni kelompok belakang selesai hari pertama latihan WorldSBK di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 Barcelona, semalam namun ia tidak menggoyahkan semangat pelumba negara itu.

Pada sesi latihan bebas 1, pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu melakukan catatan terbaik 1 minit 44.893 saat (s) untuk menghuni tangga terakhir daripada senarai 23 pelumba.

Dan sekalipun memperbaiki catatan itu kepada 1'44.280s pada sesi kedua, kedudukan itu tidak berubah dan aksi yang menyaksikan juara WorldSSP musim lalu, Nicolo Bulega (Aruba.it Racing - Ducati) melakukan catatan terpantas 1'40.907s.

"Pada sesi pertama kami melakukan sesuatu yang berbeza memandangkan ia adalah ujian tetapi ia tidak menjadi jadi kami kembali menggunakan sesuatu yang hampir ketika sesi ujian dan perasaannya kembali baik.

"Saya agak gembira di mana kami dapat meningkatkan masa kami dengan tayar ini seperti yang kami lakukan ketika ujian, tetapi sudah pasti masih ada ruang untuk meningkat," kata Adam dalam kenyataan dikeluarkan pasukan.

"Saya boleh katakan yang keadaan litar di sini lebih teruk berbanding ketika ujian tetapi kami kini perlu melihat sama ada cuaca akan kekal seperti ini sepanjang minggu.

"Keadaan lebih sejuk mungkin lebih baik buat kami, tetapi saya yakin yang kami boleh mengambil satu lagi langkah ke hadapan."

Sementara itu, pelumba negara di WorldSSP, Khairul Idham Pawi turut bergelut pada sesi latihan 1 sebelum meraih keputusan lebih baik pada sesi Superpole.

Dan penambahbaikkan itu menyaksikan pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu akan memulakan perlumbaan di barisan ke-10 untuk perlumbaan nanti.

"Pada sesi pertama saya berdepan isu dengan cengkaman, tetapi selepas saya mengubah tayar saya, perkara menjadi lebih baik," kata Khairul Idham yang lebih popular dengan panggilan KIP.

"Pada Superpole kami mengubah sesuatu di belakang jentera dan turut melakukan sesuatu kepada elektronik, dan sekali lagi saya merasakan sedikit perubahan, tetapi masih ada banyak perkara perlu dibuat.

"Kami meningkat berbanding pada sesi pagi, tetapi kami perlu mencari lagi peningkatan dan berharap ia diperoleh ketika sesi pemanas badan. Jika kami boleh mengambil satu lagi langkah di sini, jadi perasaan akan lebih baik untuk perlumbaan."