ISU Brek Ranapkan Harapan Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/15/20241 min read

'PAKAR' COTA (Circuit of the Americas), Marc Marquez mendedahkan punca yang mengakibatkannya tersingkir daripada perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Amerika Syarikat 2024, awal pagi tadi.

Tiba di COTA dengan status pemenang tujuh kali di Austin, Texas, Marquez pada satu ketika berjaya memimpin perlumbaan - pertama kali bersama jentera Gresini Ducati namun berdepan malang apabila terjatuh.

Dan juara dunia enam kali MotoGP itu mendedahkan dia sebenarnya berdepan isu brek depan yang memerlukannya menekan tuil brek beberapa kali sebelum mengambil selekoh yang kemudian menyebabkannya kehilangan cengkaman di bahagian depan.

"Kami perlu mengambilnya dengan positif. Kami bersaing di kelompok depan, kami cuba untuk memimpin perlumbaan. Tetapi malangnya perasaan saya pada hari ini bukan yang terbaik," kata Marquez.

"Saya banyak bergelut dengan brek depan. Atas alasan itu, saya berkata 'Ok', cuba untuk memimpin perlumbaan dan lihat bagaimana ia menjadi lebih baik.

"tetapi apabila saya tiba di selekoh 11, saya sekali lagi merasa sesuatu yang kurang senang dan perlu menekan brek 3 ke 4 kali.

"Kerana itu saya meningkatkan kelajuan dan kehilangan (cengkaman) di bahagian depan. Tetapi selain daripada itu, perasaan sepanjang minggu ini baik.

"Kami terus bertambah baik, ketika pemanas badan kami melakukan perubahan yang turut membantu saya. Jadi saya gembira."

Marquez yang turut kehilangan 'sidepod' selepas pelanggaran dengan Jack Miller mengakui jenteranya mempunyai 'kelajuan' yang diperlukan untuk bersaing.

"Pada selekoh pertama, saya tersasar (akibat sentuhan dengan pelumba lain) dan ramai pelumba memintas saya. Kemudian, saya bangkit dua kali," kata Marquez.

"Saya bangkit selepas itu tetapi kemudian saya terpaksa memperlahankan kelajuan agar tak melanggar (Jorge) Martin. Dan kemudian (Pecco) Bagnaia memintas saya sekali lagi. Kemudian saya bangkit lagi.

"Jadi, kelajuannya ada, tahapnya ada dan kelajuan juga ada. Ini adalah perkara paling penting. Kini kami akan pergi ke Jerez, kami akan terus meningkat dan lihat apa yang boleh dilakukan di sana."