ISU Cengkaman, Kelajuan Jentera Terus Buat Adam, KIP 'Pening'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/15/20241 min read

SATU lagi kempen mengecewakan diharungi kedua-dua pelumba negara di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024, Adam Norrodin dan Khairul Idham Pawi berakhir Pusingan 5 di Donington Park, UK, semalam.

Untuk Adam yang beraksi dalam kelas perdana WorldSBK, selepas menamatkan Perlumbaan Superpole di tangga ke-21, dia berdepan kemalangan pada Perlumbaan 2 yang menyaksikannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, menurut pasukannya Petronas MIE Racing Honda.

Dan situasi hampir sama diharungi oleh Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai KIP yang menyaksikannnya turut terjatuh ketika Perlumbaan 2 namun masih mampu bangkit untuk melengkapkan perlumbaan di tempat ke-23.

Mengulas prestasi di Donington Park, kedua-dua pelumba menyatakan mereka berdepan kesukaran dengan jentera ditunggang yang disifatkan mempunyai masalah cengkaman dan tak cukup laju untuk mencabar jentera pengeluar lain.

"Kami cuba untuk mengubah sesuatu ketika sesi pemanas badan tetapi ia tidak menjadi," kata Adam yang terpaksa beraksi tanpa rakan sepasukan Tarran Mackenzie yang tak cergas susulan kemalangan pada Sabtu.

"Saya merasakan kami mengambil langkah yang baik pada Perlumbaan Superpole tetapi kemudian pada Perlumbaan 2, disebalik usaha sehabis baik yang saya buat untuk mengekalkan kelajuan dengan pelumba di depan saya, saya dapat rasakan dengan serta mereta yang saya tidak mempunyai cengkaman di bahagian belakang.

"Saya masih cuba untuk memberikan tekanan tetapi dengan melakukannya membuatkan saya hampir hilang kawalan di bahagian depan, dan akhirnya membuatkan saya kemalangan dan terkeluar daripada perlumbaan."

KIP dalam pada itu tak berselindung dan menyatakan masalah untuk mengawal jentera - situasi yang dihadapinya sejak beberapa pusingan sebelum ini - terus memberikannya kesukaran.

"Kami memperbaiki catatan sepusingan sedikit pada Perlumbaan 2 tetapi sekali lagi pergerakan di bahagian belakang memberikan saya masalah," kata KIP.

"Saya kehilangan kawalan pada bahagian depan di selekoh terakhir dan ia memang mengecewakan. Masih sukar untuk saya memberikan tekanan dan menunggang seperti yang saya mahukan, tetapi harapnya kami boleh mengambil satu lagi langkah untuk minggu depan di Most."

Pusingan 6 WSBK 2024 dijadual berlangsung di Republik Czech pada 19 hingga 21 Julai ini di Autodrom Most.