ISU Lengan Ayun: Keeway Malaysia Panggil Semula 5k Unit Keeway XDV 180 Evo!
Pengedar eksklusif jenama Keeway di Malaysia, MForce Bike berkata langkah proaktif terbabit diambil susulan pengenalpastian berhubung kemungkinan wujudnya isu ketahanan pada komponen berkenaan
TERKINI
8/25/20261 min read


KEEWAY Malaysia mengumumkan pelaksanaan Program Panggil Semula membabitkan lebih 5,000 unit skuter bergaya 'Adventure' model Keeway XDV 180 Evo bagi proses penggantian komponen lengan ayun.
Pengedar eksklusif jenama Keeway di Malaysia, MForce Bike berkata langkah proaktif terbabit diambil susulan pengenalpastian berhubung kemungkinan wujudnya isu ketahanan pada komponen berkenaan.
Justeru, demi memastikan tahap keselamatan dan ketahanan jentera terbabit kekal pada paras tertinggi, Keeway Malaysia menyediakan komponen lengan ayun baharu yang sudah dipertingkatkan kualitinya.
"Komponen baharu ini direka khusus untuk memberi ketahanan yang lebih kukuh serta menjamin kestabilan jangka panjang semasa tunggangan, sekali gus memastikan prestasi optimum untuk keselamatan penunggang," tulis kenyataan itu.
Keeway Malaysia menyeru semua pemilik model XDV 180 Evo untuk segera membuat semakan status motosikal masing-masing menerusi pautan rasmi di https://productrecall.mforceservice.my/.
Bagi pemilik yang mendapati unit mereka tersenarai dalam program pemulihan ini, mereka dinasihatkan untuk terus menghubungi atau mengunjungi pengedar sah Keeway Malaysia di mana pembelian asal dibuat bagi mengatur jadual janji temu.
Berita baik untuk pelanggan yang terjejas, seluruh proses penggantian komponen lengan ayun itu akan dilaksanakan secara percuma, merangkumi kos alat ganti baharu serta upah kerja pemasangan.
"Keeway Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama, kepercayaan, dan sokongan pelanggan. Kami kekal komited dalam menawarkan motosikal berkualiti tinggi berserta perkhidmatan selepas jualan yang boleh dipercayai," tambah kenyataan itu.

