ISU Lesen B2 Ke B Auto, Anthony Loke 'Tembak' Sekolah Memandu!

TERKINI

1/23/20241 min read

'LEBIH' merbahaya kepada syarikat pengusaha sekolah memandu. Itu kata-kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika mengulas isu membabitkan penukaran lesen B2 kepada lesen kelas B secara automatik.

Begitupun, menurut laporan Berita Harian, kenyataan yang dibuat Loke itu adalah secara berseloroh.

Loke berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan institusi memandu tentang risiko penukaran lesen B2 kepada lesen kelas B secara automatik akan membahayakan pengguna jalan raya.

Dan menurutnya, kebimbangan syarikat-syarikat sekolah memandu lebih terjurus kepada potensi kehilangan hasil daripada proses mendapatkan lesen B daripada pengguna.

"Pertukaran automatik itu lebih 'berbahaya' bagi institusi memandu kerana mereka akan kehilangan pendapatan," kata Loke memetik laporan berkenaan yang dikatakan dibuat secara berseloroh.

Loke berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan butiran cadangan berkenaan namun memberi jaminan yang kajian menyeluruh akan dijalankan.

Katanya, kemeteriannya akan mengadakan kajian untuk melindungi semua pihak dan akan ada banyak syarat termasuk dari segi had umur, bilangan tahun sudah memiliki lesen serta beberapa lagi syarat yang dipertimbangkan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan akan mengkaji mekanisme untuk mempercepat pelaksanaan cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal kelas B2 secara automatik kepada lesen B.

Antara syarat yang akan dipertimbangkan adalah pemohon berumur 35 tahun ke atas dan memegang lesen B2 untuk tempoh tertentu.

Ia kemudian mendapat reaksi daripada Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar yang mencadangkan kerajaan agar meneliti lebih lanjut butiran cadangan itu.

Menurutnya berdasarkan statistik, kenderaan dua roda, penunggang, dan pembonceng merekodkan jumlah tertinggi kematian akibat nahas jalan raya.