ISU Suspensi Rencat Rentak Hakim Danish Di Misano
Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan SIC Racing MSi hanya mampu mencatat masa ke-19 terpantas pada sesi pertama, sebelum menamatkan sesi kedua di kedudukan ke-24 terpantas
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/19/20251 min read


PRESTASI pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli dilihat kurang memberangsangkan pada hari pertama sesi Latihan Bebas pada Pusingan 5 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 yang berlangsung di Litar Misano, Itali, hari ini.
Dalam dua sesi latihan bebas yang dijalankan, pelumba pasukan SIC Racing MSi itu hanya mampu mencatat masa ke-19 terpantas pada sesi pertama, sebelum menamatkan sesi kedua di kedudukan ke-24 terpantas.
Menurut Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairudin, prestasi Hakim terjejas ekoran isu teknikal yang melibatkan sistem suspensi jentera pelumba berkenaan.
“Kami sudah mengenal pasti isu pada fork depan hari ini, yang menjejaskan keputusan kami. Kami akan berusaha untuk menyelesaikannya dan kembali lebih kuat esok,” kata Zulfahmi kepada media.
Dalam sesi Latihan Bebas 1, Hakim mencatat masa 1.973 saat lebih perlahan berbanding pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, yang muncul sebagai pelumba terpantas.
Sesi Latihan Bebas 2 menyaksikan Hakim terus bergelut apabila sekadar mencatat masa ke-24 terpantas, dengan Brian Uriarte sekali lagi mendominasi sesi berkenaan.
Hakm Danish ketika ini menghuni kedudukan ke-7 keseluruhan dalam carta pelumba JrGP 2025.
