ISU Teknikal Jentera KTM Ranap Harapan Hakim Danish

Situasi itu jelas mengecewakan ribuan penyokong tempatan yang membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan lebih 'menyakitkan', detik malang itu tiba ketika perlumbaan berbaki lima pusingan dengan Hakim Danish berada dalam kelompok pungutan mata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/26/20251 min read

PELUMBA wildcard Moto3 negara di Grand Prix (GP) Malaysia 2025, Hakim Danish Ramli berdepan detik sukar apabila jenteranya berdepan masalah teknikal sekali gus menyaksikannya menamatkan perlumbaan dengan status DNF.

Situasi itu jelas mengecewakan ribuan penyokong tempatan yang membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan lebih 'menyakitkan', detik malang itu tiba ketika perlumbaan berbaki lima pusingan dengan Hakim Danish berada dalam kelompok pungutan mata.

Ketika sedang bersaing sengit dalam kelompok kedua, pelumba pasukan AEON Credit SIC Racing MSI itu secara tiba-tiba meluru ke depan tanpa mengambil selekoh pertama yang membuktikan jenteranya berdepan masalah.

Perlumbaan sebelum itu terpaksa ditangguhkan hampir dua jam susulan kemalangan ngeri yang membabitkan juara dunia Moto3, Jose Antonio Rueda dan pelumba Switzerland, Noah Dettwiler dari pasukan CIP Green Power.

Kemalangan yang berlaku ketika sesi 'sighting lap' itu terjadi selepas pelumba Red Bull KTM Ajo, Rueda melanggar jentera Dettwiler dari arah belakang di selekoh 3.

Kedua-dua pelumba menerima rawatan kecemasan di tepi trek sebelum dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter untuk rawatan lanjut.

Berikutan kemalangan yang berlaku, perlumbaan kemudian dikurangkan daripada 15 kepada 10 pusingan.

Perlumbaan dimenangi pelumba Jepun yang beraksi bersama pasukan Honda Team Asia, Taiyo Furusato yang juga perlumbaan sulungnya pada musim ini.

Tempat kedua menjadi milik pelumba yang boleh dikatakan 'rakan sepasukan' Hakim Danish di Sepang, Angel Piqueras (Frinsa-MT Helmets-MSI) dan pelumba Leopard Racing, Adrian Fernandez melengkapkan podium.