ISU Tiada Peruntukan Dana Untuk Program SIC 2026, Ini Jawapan KBS!

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sahkan tidak mempunyai peruntukan untuk Program Sukan Permotoran Berprestasi Tinggi SIC yang turut membabitkan pelumba-pelumba berbakat negara antaranya Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/5/20261 min read

SEPERTI diumumkan oleh Timbalan Menteri KBS, Mordi Bimol dalam satu majlis, baru-baru ini, diketahui pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai peruntukan untuk Program Sukan Permotoran Berprestasi Tinggi SIC yang turut membabitkan pelumba-pelumba berbakat negara antaranya Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan.

Lebih mengecewakan, permohonan untuk mendapatkan dana Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi tahun 2026 juga dikatakan tidak berjaya.

Situasi itu pantas mendapat reaksi pelbagai terutama peminat sukan permotoran tanah air.

Bagi menjawab persoalan itu, KBS menjelaskan dalam satu siaran media menjelaskan ketiadaan dana itu adalah susulan keputusan dasar tahun lalu yang menetapkan peruntukan KWASN tahun ini diberikan keutamaan kepada 58 jenis sukan teras yang dipertandingkan di temasya utama seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

Menurut kenyataan KBS, keutamaan dana itu disalurkan bagi persiapan kontinjen negara menghadapi kalendar sukan yang padat termasuk Sukan Komanwel di Glasgow (Ogos ini), Sukan Asia serta persediaan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.

Begitupun, menyedari sukan permotoran memberi impak besar kepada imej negara di pentas antarabangsa, KBS bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) masih berunding dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi mendapatkan dana.

Perbincangan itu bertujuan mencari mekanisme sokongan alternatif bagi memastikan kelangsungan karier pelumba berpotensi tinggi negara tidak terjejas.

Sebagai info, kementerian itu mengeluarkan data pada tahun lalu dan menyatakan mereka sudah menyalurkan dana besar berjumlah RM 4 juta kepada SIC pada tahun lalu (2025) yang meliputi program Program Pembangunan Sukan Permotoran Berprestasi Tinggi dan KWSAN.

Daripada jumlah itu, Hakim Danish menerima tajaan keseluruhan sebanyak RM 2.159 juta untuk kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup dan FIM JuniorGP World Championship, manakala Qabil Irfan (ESBK Talent) menerima RM 1.3 juta.

Baki RM 540,000 pula disalurkan kepada dua pelumba Asia Talent Cup (ATC).

Dalam pada itu, KBS turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), rakan industri dan penaja korporat demi kelangsungan masa depan atlet sukan permotoran negara.