JACK Miller Akui 'Ada Kemungkinan' Posisinya di KTM 'Dirampas' Marc Marquez

TERKINISUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/18/20231 min read

BUKAN musim depan, tetapi jaguh MotoGP Australia, Jack Miller mengakui KTM berpotensi menggantikannya dengan juara dunia lapan kali, Marc Marquez pada kempen 2025.

Bintang Honda, Marquez akan mengumumkan perancangan mengenai masa depannya dalam kempen MotoGP berkemungkinan pada hujung bulan ini, sama ada dia akan meninggalkan Honda, bersara atau tidak memiliki sebarang kontrak.

Sebelum ini, KTM sudah pun mengesahkan minat mereka untuk membawa Marquez ke pasukan itu.

"Pintu sudah terbuka dan saya bukan orang yang cuba untuk menutupnya," kata Miller memetik laporan media Sepanyol, Motosan.

"Sudah tentu, kehilangan tempat saya kepada salah seorang pelumba ini (Marquez dan Pedro Acosta) adalah satu kemungkinan.

"Jika saya tidak cukup baik seperti yang KTM jangkakan untuk saya, saya tidak akan berada di sini pada 2025, ini adalah undang-undang sukan ini. Saya mempunyai pilihan bagi musim 2025 dan 2026.

"Ia bergantung kepada saya untuk melakukan kerja yang bagus untuk mengekalkan kerja saya. Kamu tahu, saya menghabiskan lima musim di Ducati dengan kontrak secara tahunan yang saya perlu cuba untuk lanjutkan setiap kali.

"Saya sudah biasa dengan situasi seperti ini, mereka tidak mempedulikan saya lagi," kata Miller yang memiliki kontrak bersama KTM sehingga 2024 namun mendedahkan tetap bimbang dengan situasi semasa.

Selain Miller, KTM turut menyenaraikan Brad Binder dalam pasukan utama selain Pol Espargaro dan Augusto Fernandez dalam pasukan satelit dengan keempat-empatnya mempunyai kontrak sehingga musim depan.

Selain kemelut membabitkan Marquez, KTM ketika ini sedang 'pening kepala' bagaimana untuk menyenaraikan Pedro Acosta untuk beraksi di MotoGP musim depan dan salah satu caranya adalah membeli pasukan satelit sedia ada.