JACK Miller Dakwa Kena 'Tipu' Dengan KTM

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/28/20241 min read

JACK Miller mendakwa dia diberitahu oleh KTM yang pasukan itu mahu mengekalkannya di MotoGP sebelum mendengar berita penyingkirannya beberapa jam kemudian.

Mengakui terkejut, tempat Miller di KTM seperti diketahui musim depan akan digantikan oleh pelumba muda sensasi, Pedro Acosta yang akan bergandingan dengan peluba Afrika Selatan, Brad Binder.

Dan peluangnya untuk 'diturunkan pangkat' ke pasukan satelit, Tech3 KTM juga terkubur selepas pengeluar Austria itu membuat keputusan mendapatkan tandatangan Maverick Vinales dan Enea Bastianini.

Sedar dengan prestasinya yang terumbang ambing, pelumba kelahiran Australia itu cukup positif dan pernah mengeluarkan kenyataan tidak kisah dengan perpindahan ke pasukan satelit.

"Saya terkejut," kata Miller memetik laporan Motorsport. "Kerana perkara terakhir yang saya dengar adalah 'jangan bercakap dengan sesiapapun kerana kami mahu mengekalkan kamu dalam keluarga ini'.

"Dan kemudian kamu mendapat panggilan telefon tiga jam sebelum kenyataan media dikeluarkan yang menyatakan yang kamu tidak akan mendapat kontrak.

"Jadi ya, saya terkejut. Itulah apa yang saya boleh katakan. Tetapi apa yang berlaku itulah yang berlaku."

Memasuki musim ke-10 di MotoGP, Miller seperti diketahui menjadi pelumba MotoGP yang tidak pernah beraksi dalam kelas pertengahan Moto2 dan pernah menunggang Honda serta Ducati.

Selepas tujuh pusingan berlangsung, Miller ketika ini menghuni tangga ke-16 carta pelumba dengan menguti 27 mata dan keputusan terbaiknya musim ini adalah kedudukan ke-5 di Portimao.

Begitupun dalam empat pusingan terakhir, pelumba berusia 29 tahun itu langsung tidak mengutip sebarang mata.

Mengulas lanjut, Miller mengakui dia masih ingin terus berlumba dan motivasinya bukan membabitkan wang.

"Banyak yang akan berubah di MotoGP apabila tahun 2027 tiba," katanya. "Dan bekerja untuk projek dan mencari pasukan untuk jangka masa panjang dan menamatkan tahun-tahun terakhir saya di MotoGP dengan baik dan bekerja dengan sasaran yang sama, yang saya fikir kami ada (bersama KTM), tetapi kami tidak memperolehnya.

"Jadi ia adalah sesuatu yang kami perlu pertimbangkan.

"Saya mempunyai duit dalam akaun saya, saya amat bertuah. Jadi ia bukan mengenai perkara itu. Ia adalah apa yang saya mahukan untuk karier saya," katanya.

Selain Miller, seorang lagi pelumba KTM, Augusto Fernandez turut disingkirkan dan masih belum mempunyai sebarang pelumba musim depan.