JACK Miller Dedah Hampir Ditolak Yamaha Kerana Sikap

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/6/20251 min read

PELUMBA Australia, Jack Miller hampir kehilangan tempat untuk berlumba di MotoGP musim ini selepas KTM bertindak untuk tidak menyambung kontraknya.

Begitupun, bekas pelumba Ducati itu 'diselamatkan' oleh Pramac yang menyaksikannya kini bergelar pelumba pasukan satelit Yamaha.

Bercerita mengenai perkara itu, Miller mendedahkan Yamaha pada awalnya tidak menginginkan khidmatnya berikutan sikapnya namun pujukan bos Pramac, Paolo Campinoti kepada pengeluar Jepun itu membuatkan mereka membuat pusingan 'U'.

Dan menariknya selepas tiga pusingan kempen MotoGP 2025 berlangsung, dia kini adalah pelumba terbaik Yamaha dengan menghuni kedudukan ke-11 selain menamatkan perlumbaan di Austin di tempat ke-5.

"Saya disingkirkan daripada KTM pada pertengahan musim dan sejujurnya saya berada dalam situasi sukar," kata Miller dalam satu podcast sebelum GP Amerika Syarikat.

"Saya tidak nampak ada banyak tempat yang masih ada. Segala-galanya hampir selesai.

"Kamu cuba untuk mengetahui apa sedang berlaku, dan apa yang masih tersedia, siapa yang rela menerima kamu, atau mengambil kamu. Ia nampak tidak begitu bagus.

"Saya kemudian diselamatkan oleh Paolo. Saya berkata sesuatu yang saya tidak patut cakap, Seperti (mencarut). Saya menjadi diri saya. Sarkastik.

"Tetapi Yamaha tidak gemar dengan sikap saya, kamu boleh katakan seperti itu. Ia adalah sesuatu yang boleh diselesaikan dengan mudah. Dan benar, ia seperti itu.

"Tetapi saya tidak tahu ia adalah satu isu. Atau apa kesalahan yang saya lakukan. Tetapi kamu tidak tahu apabila kamu adalah seorang yang bodoh dan sarkastik.

"Saya kadang kala melakukan perkara yang dungu. Tetapi apabila ia berkaitan dengan kerja saya, saya amat serius. Saya mahu melakukan yang paling baik setiap kali saya berada di atas jentera.

"Paolo berdiri teguh untuk saya. Dia mampu untuk memujuk (Yamaha) dan menyelesaikannya. Saya amat berterima kasih.

"Saya juga tidak pernah melihat mana-mana pengeluar yang lebih berdedikasi untuk kembali ke puncak (seperti Yamaha)."

Kehadiran Pramac menyaksikan Yamaha kembali menyenaraikan empat jentera Yamaha M1 di grid MotoGP yang jelas memberikan lebih banyak data kepada pengeluar itu.