JACK Miller Dedah Yamaha M1 Tak Dapat Ditunggang Di Mugello

Keputusan mengecewakan diraih pelumba Pramac Yamaha, Jack Miller Grand Prix (GP) Itali 2025 di Mugello minggu lalu dan menyifatkan jenteranya Yamaha M1 'tak boleh ditunggang' ketika perlumbaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/25/20251 min read

PELUMBA Pramac Yamaha, Jack Miller menyifatkan jenteranya Yamaha M1 'tak boleh ditunggang' ketika Grand Prix (GP) Itali 2025 di Mugello, minggu lalu.

Kempen Miller berakhir mengecewakan apabila sekadar berada di litar selama 10 pusingan sebelum terpaksa memasuki pit perlumbaan disebabkan pelbagai isu yang dihadapi jenteranya.

Memulakan perlumbaan di petak ke-13, Miller kehilangan lima kedudukan selepas pusingan pertama.

"Sejak daripada permulaan perlumbaan, klac saya boleh dikatakan sudah pun terbakar sejurus saya melepaskannya, sekali pun permulaan perlumbaan saya bagus," kata pelumba kelahiran Australia itu.

"Untuk tiga pusingan pertama ia kehilangan cengkaman dengan teruk. Ia menukar gear dengan awal di setiap tempat, cuba untuk kembali hidup.

"Saya terselamat, tetapi setiap kali saya melanggar laluan tak rata, ia terasa seperti tendangan dan mencampak saya keluar.

"Saya dipotong semua orang, dan selepas mengalami kemalangan dengan seseorang pada pusingan pertama, saya juga kehilangan sayap, yang membuatkan saya melakukan 'wheelie' di setiap tempat.

"Kemudian kami berdepan masalah (hantaran) minyak yang menjadikan jentera lebih agresif. Pada ketika itu, ia secara asasnya tidak boleh ditunggang. Saya cuba untuk meneruskannya, tetapi pada akhirnya saya perlu menarik diri.

"Ia sukar, tetapi kami akan menekan butang reset dan melihat ke depan."

Pusingan selepas ini adalah di Assen, Belanda dengan Miller mempunyai kenangan hebat meraih kemenangan MotoGP pertamanya bersama pasukan Marc VDS pada 2016.