JACK Miller Kekal Di Yamaha?
Jika kekal, bekas pelumba Ducati dan KTM, Jack Miller akan bergandingan dengan juara dunia WorldSBK dua kali, Toprak Razgatlioglu di Pramac Yamaha bagi kempen MotoGP musim 2026
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/5/20251 min read


PELUMBA MotoGP Australia, Jack Miller memberi bayangan dia akan kekal bersama Pramac Yamaha selepas selesai tugasan Suzuka 8 Hours (S8H) 2025 bersama Yamaha Racing, minggu lalu.
Pemenang empat kali perlumbaan MotoGP itu disenarai dalam pasukan Yamaha Racing di S8H bersama pelumba WorldSBK, Andrea Locatelli dan Katsuyuki Nakasuga.
Dan di sebalik usaha keras, pasukannya terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan sebagai naib juara selepas tewas kepada Honda HRC yang diwakili seorang lagi pelumba MotoGP, Johann Zarco.
Masih berteka-teki mengenai masa depannya di MotoGP selepas kontraknya dijadual berakhir sejurus kempen musim ini berakhir, Miller seperti memberi bayangan dia akan kekal bersama pengeluar Jepun itu bagi musim depan dengan meluahkan hasratnya untuk kembali berlumba pada musim depan.
"Sudah tentu, saya mahukan kemenangan, tetapi kami berdepan persaingan yang cukup kuat," kata Miller. "Apapun tempat kedua juga menarik. Ia hari yang hebat untuk saya, untuk Nakasuga dan untuk Locatelli.
"Keadaan panas dan sukar pada tahap ekstrem, tetapi kami berjaya menguruskan perlumbaan hampir tanpa kesilapan.
"Tetapi dengan melakukan perkara seperti itu, kami tidak dapat mengejar lawan kami, jadi kami perlu menjadi lebih kuat dan laju, dan kemudian kembali ke Suzuka 8 Hours dan menang.
"Ini adalah kali kedua saya berlumba di S8H, dan saya mendapat podium. Nakasuga memberitahu saya yang pandangan dari podium menakjubkan kerana dia sudah melihatnya beberapa kali, dan dia betul. Ia amat cantik. Tetapi apa yang saya mahukan adalah lebih besar, trofi kemenangan.
"Ia perkara yang membuatkan saya iri hati. Tetapi jujurnya, untuk berlumba di S8H bersama Yamaha adalah pengalaman yang hebat.
"Saya dapat merasakan falsafah Yamaha untuk sentiasa berkembang, dan satu kebanggaan untuk Presiden Yamaha, Shitara menyertai kami. Kerja keseluruhan pasukan menakjubkan, dan peminat juga amat mengalu-alukan kami."
"Saya sudah tentu mahu mengambil bahagian dalam S8H lagi sebagai pelumba Yamaha dan mendapatkan trofi berkenaan."
Jika kekal, Miller akan bergandingan dengan juara WorldSBK, Toprak Razgatlioglu di Pramac Yamaha.
