'JADI Perlumbaan Haram Jika Tiada Kelulusan, Risiko Disenarai Hitam'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/29/20241 min read

PENGANJUR yang gagal mendapat kelulusan serta tidak mengikuti garis panduan ditetapkan bagi penganjuran perlumbaan sukan drag dan motocross di Malaysia oleh MAM selepas ini akan dilabel sebagai 'Perlumbaan Haram'.

Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), semalam melancarkan Garis Panduan Sukan Drag, Motocross kepada pihak berkaitan yang berhasrat menganjurkan perlumbaan dua sukan permotoran popular berkenaan di Malaysia.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir menegaskan perlumbaan drag atau motocross yang dianjurkan tanpa kelulusan KBS akan dianggap sebagai perlumbaan haram dan tidak diiktiraf.

Dan antara hukuman yang boleh dikenakan termasuklah disenarai hitam.

"Ini adalah langkah tegas untuk memastikan hanya penganjur yang bertanggungjawab dapat terbabit dalam sukan permotoran ini," kata Mokhzani memetik laporan HMetro.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh dalam sidang media majlis berkenaan turut menegaskan yang laporan polis turut boleh dibuat kepada penganjur jika ada pelanggaran garis panduan berlaku.

“Dari segi penguatkuasaan, kita akan buat laporan polis jika ia (pelanggaran garis panduan) berlaku, manakala Pesuruhjaya Sukan (PJS) boleh senarai hitam mana-mana persatuan atau kelab yang degil untuk mendapatkan kelulusan selain tidak dapat peruntukan.

“Kita akan mencari jalan bagi memastikan hanya yang betul-betul bertanggungjawab dalam industri sukan ini boleh bergiat dalam sukan permotoran,” kata Hannah memetik laporan Kosmo!

Selain berisiko disenarai hitamoleh PJS, penganjur yang tidak mengikuti garis panduan itu turut idak layak menerima geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurut Hannah, pengenalan garis panduan itu adalah langkah terbaik bagi memastikan perkara-perkara tidak diingini dapat dielakkan dalam mana-mana penganjuran sukan permotoran yang berisiko tinggi itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa insiden termasuk membabitkan kehilangan nyawa berlaku terutama dalam perlumbaan sukan drag.

Seperti diumumkan, garis panduan itu meliputi aspek pengenalan, perundangan, penguatkuasaan, keselamatan dan pengendalian bagi penganjuran kedua-dua sukan permotoran itu.