'JADIKAN Valentino Rossi, Jorge Lorenzo Inspirasi'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/10/20241 min read

PELUMBA Australia, Jack Miller mendedahkan kejayaan yang dicapai dua legenda MotoGP Jorge Lorenzo dan Valentino Rossi bersama jentera Yamaha M1 membuatkannya teringin dan teruja untuk menunggang jentera yang sama.

Miller yang disisihkan KTM sejurus kempen MotoGP musim ini berakhir memperoleh talian hayat selepas menandatangani kontrak bersama pasukan satelit baru pengeluar Jepun itu, Pramac Racing.

Pernah beraksi bersama Pramac pada 2018 hingga 2020 menggunakan jentera Ducati, Miller memperoleh kontrak selama setahun dan akan bergandingan dengan pelumba Portugal, Miguel Oliveira.

"Menakjubkan untuk mendapat peluang bekerja dengan Yamaha," kata Miller kepada TNT Sport. "Jenama yang berprestij, bersejarah. Mereka berusaha amat kuat untuk cuba mencapai apa yang mereka lakukan hanya dalam beberapa tahun lalu.

"Untuk cuba dan membantu mereka, saya sentiasa mahu menunggang jentera Yamaha sejak saya bersaing di MotoGP.

"Saya mengikuti pelumba-pelumba Tech3 (ketika bersama Yamaha) atau Jorge atau Vale sebelum ini ketika mereka berada bersama Yamaha, dan berfikir ia nampak cukup menarik untuk ditunggang.

"Jadi saya benar-benar teruja akhirnya dapat menunggang Yamaha M1 dan melihat apa yang mereka lakukan."

Setakat ini, Miller yang pernah berlumba bersama tiga pengeluar - Honda, Ducati dan KTM masih belum meraih sebarang kedudukan podium bersama pengeluar Austria itu berbaki satu pusingan di Barcelona, minggu depan."

Kehadiran Miller ke Yamaha begitupun mencetuskan pelbagai pendapat di kalangan peminat jenama itu yang beranggapan mereka sepatutnya menggajikan pelumba muda untuk tugas berkenaan.

Begitupun, pengalaman yang dimiliki Miller bersama jentera yang menggunakan enjin konfigurasi V4 berkemungkinan besar menjadi daya tarikan pengeluar itu untuk mendapatkan khidmatnya.