JADO Smart Tembus Pasaran Malaysia, Tawar Peranti Pintar H1, S6, Mula RM 850
Pengarah Hodaka Motoworld, Muji Lim selaku pengedar eksklusif JADO Smart, berkata pihaknya sentiasa mencari teknologi terkini, namun mengambil pendekatan teliti dengan hanya mengedarkan produk yang mampu meningkatkan pengalaman serta keselamatan penunggang
PELANCARAN
6/3/20262 min read


SEMPENA penganjuran acara Malaysia Bike Show (MBS) 2026, Hodaka Motoworld mengorak langkah ke depan apabila mengumumkan mereka kini adalah pengedar eksklusif untuk sistem paparan pintar JADO SMART di pasaran tempatan.
Menyasarkan penunggang motosikal yang mementingkan aspek teknologi dan keselamatan, pengenalan sistem infotainmen terbaharu itu mempertaruhkan dua model utama iaitu JADO S6 pada harga RM 2,150 dan JADO H1 yang bermula pada RM 850.
Pengarah Hodaka Motoworld, Muji Lim, berkata pihaknya sentiasa mencari teknologi terkini, namun mengambil pendekatan teliti dengan hanya mengedarkan produk yang mampu meningkatkan pengalaman serta keselamatan penunggang.
"JADO SMART memenuhi keperluan ini dengan sempurna. Sistem paparan ini menyediakan pengguna dengan data dan kesalinghubungan berkaitan tunggangan yang mudah difahami dan diakses hanya dengan sekali pandang dan sentuhan," katanya.
Menariknya, sistem peranti pintar ini turut direka untuk disambung dan berfungsi secara lancar dengan sistem kawalan pelbagai fungsi khusus untuk motosikal keluaran BMW, di samping serasi dipadankan dengan jenama-jenama lain.
Sebagai peneraju dalam penyelesaian kenderaan pintar, pelancaran berganda model Jado H1 dan S6 ini menandakan satu pencapaian penting bagi jenama itu dalam menawarkan produk yang mengutamakan ketahanan serta kelancaran operasi untuk pelbagai profil penunggang.
Dibangunkan melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D) intensif selama tiga tahun bermula 2023 hingga awal 2026, ia direka khusus bagi mengatasi kelemahan alatan konvensional seperti pemegang telefon pintar yang rapuh dan sistem paparan yang tidak tahan cuaca.
Bagi model JADO S6, ia bertindak sebagai sistem infotainmen utama jenama itu yang mewakili kemuncak kepakaran kejuruteraan JADO, dengan menyasarkan penunggang motosikal yang mementingkan prestasi dan kapasiti storan maksimum.
Teras utama bagi model spesifikasi tinggi ini adalah penawaran paparan kecerahan tinggi yang direka khas untuk memberikan keterlihatan optimum biarpun di bawah pancaran cahaya matahari langsung, lengkap dengan ketahanan bertaraf industri.
Sementara itu, JADO H1 pula tampil sebagai sistem paparan yang lebih diperkemaskan, direka khusus untuk golongan komuter harian yang mengutamakan fungsi asas tanpa menjejaskan kebolehpercayaan serta jaminan kualiti jenama itu.
Dari segi keselamatan dan kesalinghubungan, kedua-dua peranti membolehkan penunggang menyambungkan set kepala Bluetooth serta mengakses pelbagai data kenderaan pada masa nyata, sekali gus meningkatkan fokus situasi sewaktu menunggang.
Selain itu, ketersediaan ruang storan dalaman 32GB pada model S6 dan sokongan storan luar sehingga 256GB bagi model H1 membolehkan rakaman perjalanan jauh disimpan dengan selamat, satu ciri yang amat berharga buat penunggang pelancongan jarak jauh dan profesional.
Membezakannya dengan pesaing di pasaran, peranti JADO SMART dibina sepenuhnya di kemudahan canggih mereka sendiri dengan menggunakan 100 peratus komponen baharu dan bukannya alat ganti kitar semula demi menjamin nilai terbaik buat pelanggan.
Lebih mengagumkan, sebelum dipasarkan, unit ini sudah menjalani ujian dalam persekitaran ekstrem seperti di padang pasir dan di bawah pancutan air bertekanan tinggi, menjadikannya peranti yang kebal haba tanpa sebarang masalah skrin menjadi malap atau 'lag'.
Susulan ujian ketat itu, sistem JADO SMART menerima pengiktirafan penarafan rintangan air dan habuk bertaraf IP69K serta IP67, dan kini boleh ditempah melalui saluran pengedar sah Hodaka Motoworld di seluruh negara dengan jaminan proses pemasangan tanpa menjejaskan sistem asal motosikal.



