JADUAL ARRC 2024 Diumum, Malaysia Pusingan Ke-5!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/13/20231 min read


PENGELOLA perlumbaan berprestij Asia, Two Wheels Motor Racing hari ini mengumumkan kalendar Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2024 yang menyaksikan 6 pusingan dijadual berlangsung.
Daripada 6 pusingan, Thailand akan menjadi destinasi kepada dua pusingan dengan masing-masing satu di China, Jepun, Indonesia dan Malaysia.
Seperti tahun lalu, kempen ARRC 2024 membuka tirainya di Litar Antarabangsan Chang, Buriram Thailand pada Mac dan venue sama turut menjadi gelanggang penutup musim yang dijadual pada Disember.
Dan untuk pusingan di Malaysia, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi destinasi Pusingan ke-5 yang dijadual pada 13 hingga 15 September 2024.
Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg berkata pihaknya meletakkan tanda aras yang tinggi bagi musim 2024 dan mengalu-alukan perubahan untuk memastikan kejuaraan itu setaraf dengan standard global.
"Kami berada di landasan yang tepat ketika ini dan akan meneruskan inisiatif sebagai menyediakan peluang kepada komuniti ARRC untuk bersaing secara kompetitif.
"Kami juga gembira untuk mengesahkan salah satu daripada destinasi perlumbaan di Mobility Resort Motegi, Jepun tahun depan dan berharap ia akan menjadi daya tambah kepada cabaran kepada pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba."
Selain itu, Ron turut mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada rangkaian rakan kongsinya, penaja-penaja, barisan pasukan dan pelumba atas sokongan tidak berbahagi bagi merelisasikan sasaran ARRC.
Sementara itu, Presiden FIM Asia, Stephan Carapiet berharap ARRC akan terus menjadi platform kepada bakat-bakat terpendam di rantau ini sekaligus memberi motivasi kepada pasukan-pasukand an pelumba-pelumba untuk mencapai kejayaan.
