JADUAL FIM MiniGP Malaysia 2025 Diumum, 5 Pusingan!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/23/20251 min read


KEJUARAAN FIM MiniGP Malaysia 2025 dijadual berlangsung sebanyak lima pusingan dan membuka tirainya di litar RUD Karting Sepang pada 26 dan 27 April ini.
Daripada lima pusingan, saingan musim ini turut menyaksikan satu litar baharu iaitu Litar Antarabangsa Karting LYL, yang terletak di Sungai Long, Selangor.
Begitupun, kejuaraan kali ini tertumpu di sekitar Lembah Klang dengan hanya satu perlumbaan dijadual berlangsung di Litar Tangkak, Johor.
Penganjur kejuaraan berkata, perlumbaan akan tertumpu di Selangor disebabkan kekangan tarikh dan kos kewangan yang tinggi.
Sebagai rekod, perlumbaan turut berlangsung di Pulau Langkawi dan Perlis pada musim lalu.
Secara keseluruhan, sejumlah 15 pelumba Malaysia sudah mengesahkan bertanding dalam kategori FIM MiniGP 160 manakala 10 pelumba dalam FIM MiniGP 190.
Sementara itu untuk SIC Ohvale Junior Championship, sejumlah 15 pelumba sudah mengesahkan diri.
Selain itu, juara FIM MiniGP 160, Nguyen Viet Tuan juga sudah mengesahkan penyertaannya dalam kategori FIM MiniGP 190 tahun ini.
Turut bertanding adalah juara FIM MiniGP 190 musim 2024, Qabil Irfan, Airel Marzuki dan Qayyim Razzin, Sharf Muhriz dan Adam Danial.
Berikut adalah jadual FIM MiniGP Malaysia 2025
Pusingan 1 - Rud Karting Sepang (26-27 April)
Pusingan 2 - Litar Horizon Beranang (24-25 Mei)
Pusingan 3 - Litar Lumba Tangkak (7-8 Jun)
Pusingan 4 - Litar LYL Karting Antarabangsa (9-10 Ogos)
Pusingan 5 - Rud Karting Sepang (11-12 Oktober)


