JADUAL MSBK 2024 Diumum, 4 Pusingan, Buka Tirai Pada Mei!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/29/20241 min read

SALAH satu kejuaraan yang berada dalam kalendar sukan permotoran dua roda negara, Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) dijadual berlangsung sebanyak empat pusingan pada musim 2024 dan bakal membuka tirainya pada Mei depan.

Seperti diketahui, penganjuran MSBK adalah hasil kerjasama Litar Antarabangsa Sepang Petronas bersama promoter terkemuka, Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR).

Selepas berlangsung sebanyak tiga pusingan musim lalu, empat pusingan dijadual berlangsung untuk MSBK musim ini dan kekal di Petronas SIC.

Pengarah Promosi TWMR, Ron Hogg berkata sekalipun penambahan satu pusingan bukan perubahan yang amat besar, tetapi ia tetap dilihat sebagai pemangkin buat pasukan dan pelumba bertanding yang mahukan pengalaman komprehensif.

"Dengan penambahan satu pusingan ini, ia pasti menjadi platform yang lebih baik untuk meningkatkan prestasi dan pembangunan pelumba-pelumba.

"Justeru, kami percaya ia juga menjadi daya penarik kepada semua yang terbabit dalam kejuaraan ini tidak kira di mana tahap mereka," kata Ron yang berkata MSBK pada tahun lalu menunjukkan peningkatan dari sudut penyertaan dari dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam itu mengucapkan tahniah kepada TWMR atas komitmen berterusan promoter itu yang akan terus bergelar penganjur MSBK pada tiga musim akan datang (2024-2026).

"Komitmen ini menunjukkan kerjasama yang kukuh dengan menyasarkan peningkatan pengalaman MSBK kepada pelumba dan peminat.

"Kami menjangkakan peningkatan penyertaan dan juga penonton yang lebih ramai pada musim ini yang akan menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan kejuaraan ini," kata Shafriman yang menjangkakan musim yang lebih mengujakan bakal ditampilkan MSBK pada 2024.