JAGA-Jaga, Jorge Martin Akui Belum 100 Peratus Selesa Tunggang Ducati GP24

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/11/20241 min read

PELUMBA Pramac Ducati, Jorge Martin mendedahkan dia belum benar-benar serasi dengan jentera spesifikasi terkini Ducati GP24 selepas melepasi garisan penamat perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar 2024 di tangga ketiga.

Selepas menjuarai Perlumbaan Sprint pada Sabtu, Martin yang memulakan perlumbaan di petak utama sekali lagi menjadi pilihan untuk menang namun naib juara dunia MotoGP musim lalu itu dipintas Francesco Bagnaia seawal pusingan pertama.

Dan selepas rad Binder (KTM) memintasnya, pelumba kelahiran Sepanyol itu menghabiskan banyak masa di posisi berkenaan sebelum cuba melakukan 'serangan' saat akhir namun tak berjaya.

Mengakui gembira dengan keputusan yang diraih, Martin begitupun menjelaskan dia belum menunggang jentera dengan pakej baharu itu secara 100 peratus namun percaya ia memiliki potensi untuk menang.

"Berada di podium pada hari ini amat sukar tetapi kami mempunyai potensi untuk menang," kata Martin memetik laporan Crash.net.

"Saya tidak 100 peratus gembira. Saya fikir saya terlalu berhati-hati dengan tayar pada awal perlumbaan dan kemudian Pecco (Bagnaia) memintas saya dan segala-galanya berubah dengan banyak kerana tekanan angin tayar depan saya agak tinggi.

"Tetapi catatan yang dilakukan memang pantas dan ketika dua pusingan terakhir, saya berupaya melaukan 52.7 (1 minit 52.7 saat catatan masa) untuk menjarakkan diri daripada Marc (Marquez) dan hampir memintas Brad.

"Kami akan mengambil perkara yang positif ke Portimao, tetapi saya tidak menunggang secara 100 peratus dengan pakej baharu jentera. Jika kami bertambah baik saya fikir kami boleh menjadi lebih kompetitif."

Perlumbaan Pusingan 2 MotoGP dijadual berlangsung di Portugal pada 22 hingga 24 Mac depan.