JAGA-Jaga KTM, Ducati Pun Minat Pedro Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/13/20251 min read

PEDRO Acosta tidak akan menunggu lama untuk disambar pasukan lain termasuk Ducati sekiranya KTM membuat keputusan untuk tidak meneruskan projek MotoGP pasukan itu.

Juara dunia Moto2 2023, Acosta menyinar pada musim pertamanya di MotoGP musim lalu yang menyaksikannya dinaikkan pangkat ke pasukan 'kilang' KTM pada musim ini.

Begitupun masalah kewangan yang meruncing menyaksikan timbul kebimbangan KTM terpaksa untuk melupakan saingan di MotoGP namun bagi pengurus Acosta, Albert Valera, pelumbanya itu tidak bermasalah untuk mencari pengganti.

"Saya boleh beritahu kamu yang saya sudah bercakap dengan banyak pasukan 'kilang' kerana kami mempunyai hubungan yang baik dan perbincangannya berjalan secara berterusan," kata Valera kepada Motorsport.

"Kesemua pasukan 'kilang' menghubungi saya bertanya mengenai Pedro, mengatakan kepada saya berharap agar situasi itu tidak mengganggunya, mereka memberikannya sokongan dan mengucapkan kepada yang terbaik.

"Dan saya tahu daripada kesemua pasukan 'kilang' ini, ketika kami berada di posisi yang kami perlu mencari alternatif, saya yakin yang mereka juga terbuka untuk membantu Pedro.

"Pedro adalah berlian, dia baru berusia 20 tahun, dia sudah pun membuktikan banyak perkara dan mana-mana pasukan 'kilang' pasti teruja untuk mendapatkan khidmatnya."

Valera dalam pada itu menegaskan KTM tidak mempunyai perancangan untuk menggugurkan program MotoGP mereka.

"Saya boleh katakan yang bagi 2025, ketika ini, segala-galanya kekal sama melainkan situasi bertambah buruk dan kami dimaklumkan oleh KTM," kata Valera.

"Tetapi mesejnya adalah mereka (KTM) masih dalam kejuaraan dunia dan mereka masih bergantung kepada projek MotoGP untuk memberikan KTM lebih kekuatan dalam pasaran."