JAGA-Jaga NINJA ZX-25R, MForce Rancang Bawa Masuk QJMOTOR SRK 250 RD!
TERKINI
5/30/20251 min read


TAK salah menyatakan yang kehadiran 'Sportbike' 250 cc, 4 Silinder Sebaris Modenas Ninja ZX-25R ke Malaysia sememangnya berjaya mencetus fenomena dan ia boleh dikatakan masih lagi 'panas' sehingga kini.
Tanpa pencabar 'tulen' di pasaran, ia kekal menjadi antara model 'laku keras' jenama nasional itu.
Tetapi berdasarkan informasi terbaharu, motosikal yang memasuki pasaran tempatan itu pada 2023 itu akan bertemu lawan yang dianggap setara dan menariknya daripada model asal China, QJMotor.
Bukan sekadar khabar angin, pihak MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi jenama QJMotor di Malaysia dikatakan sedang berusaha untuk memperkenalkan model berkenaan yang dikenali QJMotor SRK 250 RD di pasaran tempatan.
Seperti Ninja ZX-25R, QJMotor SRK 250 RD dipadankan dengan enjin bersesaran 249 cc 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan cukup mirip ZX-25R iaitu 40.2 Hp pada 15,500 rpm dan tork 22 Nm pada 12,500 rpm.
Tampil dengan rekaan agak futuristik, QJMotor SRK 250 RD adalah model yang dibangunkan sendiri oleh QJMotor.
Dan sebagai model yang dibawa oleh MForce, apa yang turut boleh dijangkakan adalah penawaran harganya yang cukup menarik.
Sekalipun tiada pengesahan, tetapi daripada risikan dan laporan rakan media, harga yang bakal diperkenalkan jauh lebih murah berbanding Ninja ZX-25R iaitu sekitar RM 25k.
Selain trenkuasa yang unik, QJMotor SRK 250 RD turut dipadankan dengan pelbagai komponen premium antaranya kaliper brek daripada Bremo M4, fork depan jenis terbali (USD) dan panel meter TFT berwarna.
Informasi lain yang turut diperoleh adalah seperti set roda 110/70-17 (depan), 150/60-17 (belakang), berat 176 kg dan tangki bahan api sebesar 16 liter.
Setakat ini, tiada sebarang maklumat mengenai pelancaran motosikal berkenaan tetapi seperti kebiasaan, pihak MForce tidak mahu peminatnya menunggu terlalu lama. Sama-sama kita nantikan.


