JAGA-Jaga, Skuter QJMotor Fort 350 (2024) Dah Tiba Di Pengedar, RM 23.9k!

TERKINI

9/9/20241 min read

SALAH satu model yang paling ditunggu di pasaran selepas penampilannya di Malaysia Autoshow 2024 Mei lalu, QJMotor Fort 350 (2024) akhirnya rasmi memasuki cawangan pengedar MForce Bike, hari ini.

Seperti diketahui, QJMotor Fort 350 (2024) adakah skuter maxi yang tampil dengan rekaan yang menarik dan turut dilengkapi pelbagai ciri yang dianggap 'premium'.

Bersaing dalam segmen skuter maxi yang sememangnya cukup sengit, antara 'kekuatan' QJMotor Fort 350 (2024) pastinya harga jualannya yang mengujakan iaitu RM 23,888 (asas).

Mengimbas kembali, dua pilihan warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Black dan Gold.

Sebagai info, QJ Motor Fort 350 (2024) adalah model pertama pengeluar China itu dalam segmen skuter ketika ini.

Justeru, pelbagai penekanan diberikan terutama membabitkan penampilannya dengan rekaan skuter ini dikatakan mendapat 'sentuhan' firma Itali, Ricardo Motorcycles.

Di bahagian trenkuasa, QJ Motor Fort 350 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 350 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Sistem Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC bersama transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 33.8 Hp @ 7,500rpm dan tork 35.2 Nm @ 6,000 rpm.

Ciri-ciri menarik adalah seperti penggunaan sistem kunci kad NFC (kunci konvensional turut dikekalkan), visor angin dengan tetapan elektrik dan kamera di bahagian depan.

Informasi lain yang juga menarik adalah seperti sistem lampu LED penuh, panel meter TFT berwarna 7 Inci dengan ciri sambungan telefon pintar, TPMS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, tinggi pelana 775 mm, berat 195 kg dan kapasiti tangki bahan api 14 liter.