JAGA-Jaga Versys-X, Morbidelli T252X Dah 'Ketuk Pintu' Pasaran Malaysia!

Dilancarkan di China sempena lawatan MForce Bike ke negara Tembok Besar itu, baru-baru ini, seperti biasa antara kejutan yang dibawa untuk Morbidelli T252X adalah membabitkan harga iaitu RM 16,888

TERKINI

12/24/20252 min read

PASARAN motosikal 'Adventure touring' tempatan dalam segmen 250 cc, 2 Silinder perlu diakui berada dalam status 'sunyi' dengan model yang mengisi segmen itu boleh dikatakan cukup minimum namun situasi itu nampaknya bakal berubah dengan kehadiran Morbidelli T252X.

Dilancarkan di China sempena lawatan MForce Bike ke negara Tembok Besar itu, baru-baru ini, seperti biasa antara kejutan yang dibawa untuk Morbidelli T252X adalah membabitkan harga.

Dan seperti model dengan sesaran enjin sama namun dengan konfogurasi enjin 1 Silinder yang dijual jauh lebih 'marhaen', harga yang diumumkan untuk Morbidelli T252X juga boleh dikatakan mengejutkan iaitu RM 16,888.

Macam biasa, ia adalah harga asas, tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dari sudut rekaan, penampilan Morbidelli T252X perlu diakui sedikit berbeza khususnya di bahagian lampu utama yang sedikit 'alien' tetapi bagi penggemar model 'Adventure touring', ia bukan asing dan nampak garang.

Mengulas trenkuasa Morbidelli T252X dipadankan dengan enjin 249.5 cc, 2 Silinder Parallel-twin, 8 Injap, Fi, Penyejuk Cecair, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa dihamburkan pada angka 31.5 Hp @ 11,000 rpm dan tork 21.0 Nm @ 9,500 rpm.

Sebagai antara penawaran terbaharu daripada Morbidelli, Morbidelli T252X dipadankan dengan pelbagai ciri elektronik menarik yang boleh menjadi daya tarik tambahan kepada penunggang.

Antaranya adalah sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch 2 Saluran yang boleh dinyahaktifkan pada roda belakang.

Lebih menarik, sebagai model 'sedap' ditunggang untuk aktiviti jelajah jarak jauh, turut tersedia adalah tiga mod tunggangan - Urban, Touring dan Off-Road - yang setiap mod memiliki tetapan tersediri bergantung kepada kedaaan jalan dan boleh diakses menerusi panel meter LCD warna 7 inci dipasang secara menegak.

Sistem brek depan menggunakan cakera tunggal bersaiz 300 mm dan kaliper 4 Piston, manakala cakera belakang bersazi 240 mm dengan kaliper pinston tunggal.

Sistem suspensi menggunakan jenis fork jenis terbalik (USD) 41 mm digandingkan bersama penyerap hentak tunggal dengan pelarasan preload (belakang).

Set roda adalah 110/80-19 (depan) dan 150/60-17 (belakang) yang dipadankan dengan rim jenis jejari dan penggunaan tayar jenis 'dual-purpose'.

Info lain:

  • Tangki bahan api 18 liter

  • Tinggi pelana 820 mm

  • Berat 195 kg

Setakat ini, harga jualan yang diumumkan RM 16,888 katanya terhad tetapi menariknya setiap pembelian hadir bersama dengan dua pilihan warna iaitu Black dan White serta dilengkapi kotak sisi dan top.