JAGA-JAGA YSuku, RS-X, Voge FR150 Sertai Cub Prix, ARRC Musim 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/20/20241 min read


VOGE Malaysia sah akan mempertaruhkan kapcai 'Supernya', Voge FR150 untuk bersaing di pentas perlumbaan berprestij tempatan dan Asia, Cub Prix dan ARRC (Kejuaraan Motosikal Asia) pada musim 2025.
Menurut kenyataan daripada syarikat pengedarnya di Malaysia, MForce Bike, Voge FR150 atau Voge Formica Rossa 150 ketika ini sedang menjalani proses homologasi untuk pihak penganjur perlumbaan bagi mengesahkan penyertaan mereka.
Kehadiran Voge FR150 dijangka akan menambah kemeriahan kedua-dua kejuaraan berkenaan yang ketika ini hanya membabitkan dua jenama iaitu Yamaha dan Honda.
Menurut Voge Malaysia, keputusan menyertai dua kejuaraan utama itu adalah sebagai pencapaian penting kepada syarikat berkenaan.
Langkah ini diambil bukan saja bagi mengesahkan prestasi Voge FR150, tetapi untuk menunjukkan komitmen Voge terhadap inovasi dan kecemerlangan.
Tampil dengan rekaan yang menarik bersama spesifikasi dan ciri-ciri terkini, Voge FR150 seperti diketahui dipadankan dengan enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihasilkan adalah 15.42 Hp pada 8,500 rpm dengan tork 13.5 Nm pada 7,500 rpm.
Seperti laporan kami sebelum ini, motosikal ini turut dilengkapi klac 'Slipper', Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Tiada perincian membabitkan kategori yang akan disertai tetapi dijangka ia adalah kelas tertinggi CP150 di Cub Prix dan UB150 di ARRC.
Selain itu, pengumuman pasukan termasuk pelumba juga berada dalam proses dan dijangka diumumkan seawal Januari 2025.
Syarikat itu juga ketika ini berkata mereka sedang mencari pelumba berbakat yang mampu memanfaatkan sepenuhnya potensi Voge FR150 di litar.
