JAGA Prestij, Ducati Takkan Jual Model Bersesaran Rendah Lagi

TERKINI

8/14/20241 min read

DUCATI sekali lagi menegaskan syarikat itu tidak akan menghasilkan motosikal dengan enjin bersesaran rendah demi menjaga prestij jenama premium Itali itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Claudio Domenicali kepada wartawan Asia yang menghadiri World Ducati Week (WDW) 2024, baru-baru ini.

"Ducati tidak akan menghasilkan motosikal kecil," kata Dominecali memetik laporan Paultan.org yang dibawa Ducati Malaysia ke Itali untuk menyertai WDW 2024.

"Ducati adalah jenama untuk dijadikan inspirasi, ada beberapa prestij yang berkait dengan jenamanya."

Domenicali berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada Ducati ini menyertai persaingan dalam segmen motosikal bersesaran rendah - mengikuti trend yang dibuat beberapa jenama premium lain seperti Triumph, Aprilia dan Harley-Davidson ketika ini.

Seperti diketahui, Triumph ketika ini mempunyai penawaran dalam segmen 400 cc menerusi Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X, Aprilia menerusi Aprilia RS457 dan Harley-Davidson X440.

Sebelum ini, Ducati pernah menghasilkan model bersesaran rendah iaitu Ducati Scrambler Sixty2 yang dipadankan dengan enjin bersesaran 400 cc namun sudah dihentikan pengeluarannya.

Dibangunkan bagi menyertai pasaran yang memiliki pelbagai had lesen seperti Jepun dan Australia, Ducati Sixty2 begitupun tidak mencapai kejayaan seperti diharapkan berikutan harganya yang premium.

"Ya, ia adalah enjin yang kecil tetapi ia bukan motosikal yang murah," kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pasifik, Marco Biondi dalam laporan itu lagi.

"Kami menghasilkan motosikal Ducati dengan standard prestasi yang spesifik. Jadi sekalipun enjinnya kecil, kualiti kejuruteraan yang sama turut digunakan terhadap enjin itu dan kami tidak boleh menjadikannya murahm," kata Biondi.