JALAN-Jalan Dengan Modenas Dominar 250, Terbukti Mampu Beri Keseronokan!

REVIU

12/30/20233 min read

MODENAS membawa masuk penawaran terbaharunya dalam segmen 'Sport touring', Modenas Dominar 250 pertengahan tahun ini dan selepas sekian lama, kami di MotoDotMy.com berpeluang untuk 'melayan', menguji keupayaan motosikal berkenaan.

Tiba dengan rekaan cukup sama dengan 'Abangnya' Modenas Dominar 400, Dominar 250 boleh dikatakan sebagai pilihan lebih 'marhaen' dan paling utama, tanpa perlu menaiktaraf lesen (B2 ke B).

Apa yang lebih menarik, segala spesfikasi yang ditawarkan kepada Modenas Dominar 400 turut dimiliki oleh Dominar 250 antaranya klac 'Assist & Slipper', panel meter LCD berkembar, fork jenis terbalik (USD) dan sistem brek lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Dijual pada harga asas pada bawah RM 14k, Modenas Dominar 250 dipadankan dengan enjin bersesaran 248 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Terkenal sebagai sebuah motosikal yang 'versetail' atau serba boleh - penggunaan seharian ke tempat kerja atau pun santai, kami membuat ujian yang lebih spesifik - jalan-jalan di hujung minggu.

Jadi, jom layan pengalaman tunggang uji kali ini.

Untuk sesi tunggang uji ini, MotoDotMy.com bersama seorang lagi rakan media merancang untuk melakukan konvoi ke selatan Perak namun berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, 'projek' itu terpaksa dibatalkan.

Dan akhirnya, penulis memilih untuk 'jalan-jalan' di kawasan Selatan Selangor selain kawasan Hulu Langat yang terkenal dengan kawasan perkelahan air terjun yang popular untuk menguji kemampuan motosikal ini untuk 'meleper' secara 'geli-geli'.

Bagi perjalanan ke daerah Sepang, penulis sempat singgah ke Litar Antarabangsa Sepang, KLIA dan selain pantai Bagan Lalang sebelum pulang.

Seperti 'rider-rider' lain yang mahukan melayan aktiviti meronda, perjalanan dimulakan dengan mengikuti laluan lebuh raya diikuti jalan bandaran dan negeri. Selain itu, penulis turut melakukan ujian di laluan lasak ringan di kawasan ladang sawit di Sepang.

Berikut adalah ringkasan pengalaman yang diperoleh.

  • Sebagai permulaan, pelana Dominar 250 yang agak lebar memang meningkatkan keselesaan terutama buat penulis yang berbadan sasa untuk melakukan tunggangan jarak jauh.

  • Posisi tunggangan juga santai dengan kedudukan bar hendal tinggi (tipikal motosikal touring).

  • Meluncur di lebuhraya bukan pengalaman yang menakutkan kerana berikutan saiznya, dan ia tidak begitu berbuai seperti motosikal kapcai sekalipun ketika memintas atau dipintas bas atau lori bersaiz treler.

  • Dijana enjin 249 cc, untuk mendapatkan kelajuan sekitar 140 km/j bukan masalah dan penulis, ia sudah mencukupi terutama jika anda bukan pencinta kelajuan dan kuasanya mampu dikerah ketika diperlukan.

  • Dan jika anda melakukan lebih 'kerja rumah', anda boleh fahami mengapa ia memiliki karakter yang sama dengan pengeluar motosikal dari Austria yang memang terkenal dengan kelasakkan.

  • Aliran haba yang baik dan tidak terasa panas ketika berhenti di lampu isyarat.

  • Sekalipun dibekalkan dengan tayar bersaiz lebih kecil berbanding Dominar 400, namun menariknya boleh dikatakan cukup 'serasi' dengan kuasa yang dimiliki motosikal ini.

  • Dapat dirasakan ia memang menawarkan kualiti tunggangan yang sama dengan Modenas Dominar 400. (Ya, penulis sudah 'melenjan' Dominar 400).

  • Penggunaan lengan ayun jenis 'box-section' konvensional turut menyaksikan pergerakan motosikal ini lebih lincah dan tangkas.

  • Dengan klac 'Assist & Slipper', penukaran gear lancar.

  • Melakukan aktiviti 'meleper' sekalipun tidak digalakkan boleh dilakukan tetapi diharap jangan melakukannya ketika jalan basah.

  • Penggunaan fork USD dengan jarak travel lebih pendek (37 mm), penyerap hentak tunggal (belakang) dengan jajak lega bumi agak tinggi memang menyaksikan motosikal ini keupayaan meredah laluan lasak ringan.

  • Keupayaan menyerap hentakan boleh dikatakan baik dan ayunannya tidak begitu keras.

  • Kapasiti tangki bahan api 13 liter memang dialu-alukan. Jika perjalanan santai, ia memang menjimatkan.

  • Sistem brek (Keliper ByBre) yang dibekalkan juga mencukupi dalam kalibernya.

  • Dibekalkan dengan cangkuk yang membolehkan penunggang mengikat barangan atau beg sekiranya diperlukan.

  • Dari sudut Penampilan, rekaan ekzos 'dual tip' memang 'mencolok mata' namun entah kenapa, pilihan warna kuning (Citrus Rush) yang ditunggang penulis nampak lebih menyerlah berbanding dua pilihan warna lain yang tersedia (Sparkling Black dan Racing Red).

Kesimpulan

Selain serasi dengan penggunaan dalam bandar, 'mencilok' ketika meredah laluan sesak, apa yang boleh dikatakan Modenas Dominar 250 memang sebuah 'Sport touring' yang sejati dan 'syok' ditunggang untuk aktiviti berkenaan.

Selain sesuai untuk dijadikan jentera 'pemula' bagi sesiapa yang mahu menaik taraf daripada jentera berkuasa 150 cc atau kapcai, ia juga sesuai untuk mereka yang tidak mahukan kuasa berlebihan dan ketenangan.

Jadi adakah Modenas Dominar D250 berupaya memberikan rasa puas kepada penggemar aktiviti 'touring' atau penjelajahan? Jawapannya ya dan paling penting, ia tidak menyakitkan 'poket.'