JALUR Gemilang Berkibar Di Estoril, Hakim Danish Naik Podium!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/4/20251 min read


MOMENTUM cemerlang Hakim Danish Ramli di Eropah berterusan apabila pelumba muda negara itu menamatkan perlumbaan Pusingan 1 Kejuaraan Dunia Junior GP (JrGP) di Estoril, Portugal, hari ini di kedudukan podium.
Kejayaan yang memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di podium itu hadir selepas pelumba pasukan SIC Racing MSi itu menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.
Lebih membanggakan, keputusan itu adalah kejayaan podium pertama pelumba berusia 17 tahun itu di kejuaraan berkenaan.
"Terima kasih pasukan," kata Hakim Danish ketika menyambut kejayaannya di kawasan khas untuk tiga pelumba terbaik selepas perlumbaan.
Selepas tampak sedikit bergelut ketika sesi latihan pada Jumaat, Hakim Danish tampak meraih kembali bangkit ketika sesi kelayakan semalam sebelum mendapatkan petak ketiga perlumbaan.
Dan kelebihan itu dimanfaatkan bekas juara Asia Talent Cup 2022 itu yang membuktikan kemampuannya apabila sentiasa bersaing di kelompok hadapan sebelum meraih kejayaan berkenaan.
Kemenangan di Estoril menjadi milik pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dari pasukan UAX Seventytwo Artbox manakala pelumba Finland, Finland, Rico Salmela daripada pasukan Estrella Galicia 0.0 Honda melengkapkan kedudukan podium.
Pada minggu lalu, Hakim Danish tampil dengan persembahan cukup positif pada Pusingan 1 kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Jerez, Sepanyol yang menyaksikan turut meraih dua kedudukan podium.
Sebagai rekod, Hakim Danish pada penampilan sulungnya di JrGP musim lalu menamatkan saingan di kedudukan ke-15 keseluruhan selepas mengumpul 46 mata.
Pelumba berbakat itu pada musim ini diberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menamatkan kempen JrGP di kedudukan lima terbaik dan RBMRC di kedudukan tiga terbaik sebagai syarat bagi menempah slot ke Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 pada musim depan.
