JANGAN Buat David Alonso Tertekan - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/11/20241 min read

JUARA dunia lapan kali, Marc Marquez sememangnya diketahui mempunyai hubungan baik dengan juara dunia Moto3 2024 yang baru dinobatkan di Jepun, David Alonso.

Mengakui 'meminati' jaguh kelahiran Colombia itu, Marquez begitupun berharap agar jaguh pelumba berusia 18 tahun itu tidak diberikan tekanan yang melampau dan memberikan masa untuknya 'membesar'.

Alonso menjadi salah seorang prospek yang bakal 'panas' di kancah MotoGP. Pada penampilan sulungnya di Moto3 musim lalu, pelumba yang berpangkalan di Sepanyol itu menang empat perlumbaan dan menghuni tempat ketiga keseluruhan.

Tidak lagi memandang ke belakang, Alonso pada musim ini 'mengganas' dengan menjuarai 10 daripada 16 perlumbaan yang berlangsung dan melengkapkan gelaran dunia Moto3 berbaki empat pusingan.

"Saya menggemari David, teritama kerana dia adalah pelumba yang pantas, berbakat super," kata Marquez memetik laporan Crash.net.

"Tetapi dia seorang yang merendah diri, mempunyai karisma. Jadi, apa yang saya katakan adalah dia boleh, dan saya fikir dia akan menjadi, jika saya perlu bertaruh, akan menjadi juara yang hebat...

"Dia sudah pun juara yang hebat, tetapi juara yang lebih bagus di masa depan.

"Tetapi ketika ini adalah masa untuk dia menikmatinya, budak itu memerlukan masa.

"Tahun depan dia akan melakukan beberapa kesilapan di Moto2, tetapi jangan meletakkan banyak tekanan kepadanya kerana dia amat muda. Dan saya harap dan mengharapkan dia akan tiba di tahap tertinggi di MotoGP."

Marquez sebelum ini melabel Alonso sebagai 'span' selepas menjalani sesi latihan bersama-sama berikutan kemampuan pelumba itu mengikuti arahan dan maklumbalas yang diperolehnya dengan baik.