JANGAN Gopoh, Zaqhwan Mahu Hakim Danish Jadikan 'Kisah' KIP Pengajaran
Zaqhwan yang juga Juara Asia 3 kali, memuji bakat besar yang dimiliki Hakim Danish di pentas Moto3, namun menegaskan pelumba berusia 18 tahun itu perlu membina asas yang kukuh sekurang-kurangnya untuk dua hingga tiga tahun lagi di kelas yang sama
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/11/20262 min read


BEKAS pelumba negara di pentas WorldSBK dan Moto2, Md Zaqhwan Zaidi menasihatkan permata baharu sukan pemotoran tanah air, Hakim Danish Ramli agar tidak terburu-buru menukar kelas perlumbaan yang disifatkan berpotensi mengakibatkan karier perlumbaannya terjejas.
Zaqhwan yang juga Juara Asia 3 kali, memuji bakat besar yang dimiliki Hakim Danish di pentas Moto3, namun menegaskan pelumba berusia 18 tahun itu perlu membina asas yang kukuh sekurang-kurangnya untuk dua hingga tiga tahun lagi di kelas yang sama.
Kata pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu, tindakan 'melonjak' terlalu cepat ke kelas yang lebih tinggi dikhuatiri akan memberikan impak negatif terhadap prestasi, seperti mana yang pernah dilalui oleh seorang lagi pelumba berbakat besar negara, Khairul Idham Pawi atau lebih mesra disapa KIP.
"Jiwa Hakim (Danish) sangat kental dan prestasinya ketika ini amat memberangsangkan. Dia mampu menjadi pelumba yang hebat, asalkan pandai menjaga disiplin, mengekalkan sikap positif, dan kekal tenang. Saya yakin dia boleh pergi jauh.
"Sekarang usianya baru 18 tahun. Jika pada tahap ini dia sudah boleh mencapai sasaran podium, dia perlu kekal bersaing di kelas yang sama untuk tempoh dua ke tiga tahun bagi membina asas jangka panjang yang kukuh. Kalau dia melonjak terlalu cepat, kita bimbang dia akan jadi seperti KIP," kata Zaqhwan.
Sebagai rekod, KIP pernah mencetuskan fenomena apabila menjuarai Asia Dream Cup pada 2014 sebelum meraih tempat keenam keseluruhan di FIM CEV Moto3 Junior (2015).
KIP kemudiannya mencipta sejarah sensasi pada musim debutnya di Kejuaraan Dunia Moto3 2016 bersama Honda Team Asia apabila memenangi perlumbaan di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman.
Bagaimanapun, selepas hanya semusim di Moto3, KIP dinaikkan ke kelas Moto2 pada 2017 bersama pasukan yang sama dan dilihat bergelut mengekalkan prestasi selama dua musim berturut-turut, sebelum ditimpa kemalangan ngeri di GP Sepanyol pada 2019 yang menjejaskan kariernya.
Mengulas lanjut mengenai situasi KIP, Zaqhwan memgakui faktor keadaan dan masa memaksanya naik ke Moto2 lebih awal daripada yang sepatutnya.
"Sepatutnya KIP kekal satu tahun lagi di Moto3. Namun kita perlu faham situasi ketika itu; terdapat ramai pelumba pelapis di belakang yang sedang menunggu, dan kebetulan ada satu slot kosong di Moto2.
"Jika diikutkan, dia memang mahu kekal di Moto3 kerana yakin boleh bersaing di kelompok depan. Tetapi disebabkan faktor masa, dia terpaksa naik. Akibat melonjak terlalu cepat, prestasinya merosot.
"Itu lumrah, kita perlu ada keluk kemajuan yang konsisten seperti (pelumba negara) Hafizh Syahrin. Dia capai kelompok 10 terbaik, baru dia melangkah ke hadapan," kata Zaqhwan yang ditemui dalam satu majlis bersama Honda Motorcycle Malaysia, baru-baru ini.
Ditanya mengenai peluang untuk Hakim Danish berada di kedudukan 3 terbaik pada musim ini, Zaqhwan mahu peminat tidak memberikan tekanan yang tidak perlu kepada pelumba muda itu.
"Untuk sasaran itu, mungkin tahun depan, bukan tahun ini. Tahun ini biarlah dia belajar dan cari pengalaman dahulu. Kita tidak mahu beri tekanan kepadanya, biar dia bertenang dahulu," katanya.
Sementara itu, Zaqhwan kini sedang fokus memacu cabaran pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia akan beraksi di Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 dalam kelas elit ASB1000 di Motegi, Jepun minggu ini.
KIP juga beraksi bersama pasukan sama namun berlumba dalam kelas SS600.

