'JANGAN Lupa Saksikan Perlumbaan Saya'
Pelumba muda negara berusia 13 tahun, Qabil Irfan Azlan ketika ini sedang gah memimpin carta keseluruhan kategori ESBK Talent selepas mengumpul keseluruhan 173 mata
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/25/20251 min read


PELUMBA cilik negara, Qabil Irfan Azlan tampak cukup bersemangat menghadapi Pusingan 5 perlumbaan ESBK Talent Kejuaraan Superbike Sepanyol di Litar Navarra, Sepanyol pada minggu ini.
Seperti diketahui, pelumba muda negara berusia 13 tahun itu ketika ini sedang gah memimpin carta keseluruhan kategori ESBK Talent selepas mengumpul keseluruhan 173 mata.
Pungutan mata yang dikumpul pelumba kelahiran Terengganu itu menyaksikannya memiliki kelebihan 49 mata di hadapan pencabar terdekatnya yang juga pelumba tuan rumah, Izan Rodriguez dengan pelumba Switzerland, Alessio Arnold ketiga dengan 120 mata.
"Mereka sudah tahu strategi saya dan untuk pusingan akan datang saya akan cuba untuk ubah strategi saya," kata Qabil.
"Secara keseluruhan pada musim ini Alhamdulillah kerana saya masih mendahului lagi (carta kejuaraan) dan pada Pusingan 5 ini saya berharap untuk mengekalkan momentum saya untuk mendapatkan gelaran keseluruhan.
"Strategi saya pada minggu ini, saya tidak mahu beritahu dulu jangan lupa lihat perlumbaan saya secara siaran langsung nanti."
Pada aksi di Pusingan 4 juga di Navarra bulan lalu, selepas menjuarai Perlumbaan 1, Qabil berdepan detik sukar apabila menamatkan Perlumbaan di tempat ke-4.
Ini adalah kali pertama pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan perlumbaan di luar kedudukan podium pada musim ini.
