JANGAN Nafikan Peluang Marc Marquez - Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/11/20241 min read


FRANCESCO Bagnaia memberi amaran supaya jangan menyisihkan juara dunia lapan kali, Marc Marquez daripada senarai pencabar utama kejuaraan gelaran dunia MotoGP pada musim ini.
Tiba di pusingan ke-13 Grand Prix (GP) San Marino di Misano, Itali minggu lalu dalam keadaan bukan 100 peratus, pelumba pasukan Ducati Lenovo itu menamatkan sebagai naib juara di kedua-dua perlumbaan Sprint dan GP.
Dan susulan 'kesilapan' yang dibuat pendahulu kejuaraan, Jorge Martin, Pecco yang pada satu ketika ketinggalan 26 mata di tempat kedua mengambil peluang itu untuk merapatkan jurang kepada hanya tujuh mata selepas perlumbaan berakhir.
Justeru bagi penyandang juara dunia MotoGP itu, ia adalah contoh terbaik agar jangan menyingkirkan pelumba Gresini Ducati, Marquez sebagai pelumba yang berpotensi menjulang gelaran dunia musim ini.
"Kamu tidak akan tahu. Lihat kepada situasi saya. Saya ketinggalan 26 mata (selepas Perlumbaan Sprint) dan kini saya ketinggalan tujuh mata," kata Bagnaia.
"Jadi, segala-galanya boleh berubah dengan amat pantas. Ia sama kepada Marc dan juga sama kepada Enea (Bastianini).
"Justeru, jangan pernah menyingkirkan Marc sebagai pencabar kejuaraan. Dan jangan juga mengeluarkan Enea daripada pemburuan kejuaraan.
"Kami akan sentiasa cuba untuk melakukan perkara seperti yang kami lakukan di sini (Misano)," katanya.
Selepas 13 pusingan, Martin dari Pramac Ducati memimpin carta selepas mengumpul 312 mata diikuti Bagnaia (305 mata), Marquez (259 mata) dan Bastianini (250 mata). Pelumba di kedudukan kelima adalah Brad Binder dari KTM dengan 161 mata.
