JANGAN Singkirkan Nama Marc Marquez
Pada musim 2025, Marc Marquez mengesahkan kejuaraan dunia di Jepun dengan kelebihan 201 mata dan meskipun terlepas lima baki pusingan terakhir termasuk Malaysia akibat kecederaan di Mandalika
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/14/20261 min read


MARCO Bezzecchi dan Jorge Martin menegaskan adalah satu kesilapan besar jika ada pihak menyingkirkan nama penyandang juara, Marc Marquez daripada persaingan perebutan gelaran dunia MotoGP musim ini.
Marquez yang juga pelumba sensasi pasukan 'kilang' Ducati itu terpaksa melupakan aksi Grand Prix (GP) Catalunya hujung minggu ini susulan pembedahan berganda akibat masalah saraf di bahu dan tulang kaki yang retak di Le Mans.
Sedang menghuni takhta Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2026, duo Aprilia Racing Bezzecchi dan Jorge Martin kekal waspada dengan magis dimiliki jagoan Sepanyol itu.
Apapun, ketiadaan Marquez di Barcelona bermakna juara dunia sembilan kali itu berisiko untuk terus meningkatkan jurang mata daripada 71 mata dengan Bezzecchi ketika ini kepada angka lebih teruk.
Begitupun, Bezzecchi memberi peringatan mengenai dominasi luar biasa yang pernah dipamerkan Marquez pada musim lalu sebagai bukti mengapa cabaran pelumba itu tidak boleh dipandang sebelah mata.
"Marc memenangi kejuaraan di Jepun tahun lalu, lima pusingan sebelum musim berakhir. Jadi secara peribadi, saya tidak akan sesekali menyisihkan namanya daripada persaingan gelaran dunia," kata Bezzecchi.
"Kempen masih di peringkat awal, apa sahaja boleh berlaku. Pastinya apabila Marc kembali nanti, dia akan menjadi lebih 'lapar' untuk memburu kemenangan. Saya yakin dia akan terus memberikan tentangan," kata Bezzecchi.
Nada sama disuarakan Martin yang kini mengekori rapat Bezzecchi dengan perbezaan hanya satu mata di tangga kedua.
"Bagi saya, jika ada pelumba yang pernah membuktikan dia mampu bangkit dari titik terendah ke puncak kejayaan dan kembali, individu itu adalah Marc. Kami tidak boleh meremehkan kemampuannya," kata Martin.
"Saya harap dia segera pulih dan kembali bersaing bersama kami."
Sebagai rekod, punca masalah saraf dialami Marquez berpunca daripada kerosakan implan besi di bahunya susulan kecederaan di Indonesia.
Dalam satu perbualan penuh emosi di kotak pasyukan Ducati di Le Mans, Marquez mendedahkan kesakitan itu memaksanya menunggang "setengah saat lebih perlahan" daripada had keupayaan sebenarnya.
Pada musim 2025, Marquez mengesahkan kejuaraan dunia di Jepun dengan kelebihan 201 mata dan meskipun terlepas lima baki pusingan terakhir termasuk Malaysia akibat kecederaan di Mandalika, dia masih bergelar juara dengan kelebihan 78 mata mengatasi adiknya, Alex Marquez.

