JANGKA Jengah Malaysia Tahun Depan, Kawasaki ZX-6R Dah Tiba Di Seberang!

TULAR

8/10/20232 min read

KAWASAKI Motor Indonesia (KMI) rasmi membawa masuk Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) ke pasaran negara itu, hujung bulan lalu dan model 'Sportbike' dalam kategori 'SuperSport' itu turut diuar-uarkan menjengah pasaran Malaysia, tahun depan.

Tiba sebagai model generasi baharu, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) tampil dengan pelbagai pembaharuan terutama di bahagian rekaan yang tampak lebih 'segar' serta makin canggih.

Dan apa yang menarik di pasaran Indonesia, harga untuk motosikal yang memiliki kuasa melebihi ratusan Hp itu dan sering dilenjan di litar jauh lebih murah berbanding pencabarnya yang lain antaranya Honda CBR600RR.

Di Indonesia, Kawasaki ZX-6R (2024) diberikan tanda harga yang boleh dikatakan menarik dalam kelasnya iaitu Rp. 359,900,000 (RM 108,290) OTR (Atas jalan) Jakarta.

Harga berkenaan memang dijangka jauh lebih mahal berbanding di negara lain di rantau ini termasuk Malaysia (Jika ia tiba) berikutan peraturan pemerintah namun ia jauh lebih 'marhaen' jika dibandingkan dengan harga Honda CBR600RR iaitu sekitar Rp. 507 juta (RM 152,552).

Satu pilihan warna tersedia untuk Kawasaki ZX-6R (2024) di Indonesia iaitu warna 'asal' Kawasaki, 'Lime Green' yang juga menjadi warna tema pasukan Kawasaki Racing Team (KRT).

Menerusi penggunaan panel badan serba baharu, ciri aerodinamik motosikal ini dikatakan meningkat dan seperti dinyatakan lebih awal, lebih segar dan tambah menarik.

Di bahagian teknologi, antara yang dikemaskini adalah Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) kini memiliki 4 mod tunggangan. Ciri-ciri bantuan tunggangan elektronik canggih termasuklah Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), KQS (Kawasaki Quick Shifter) dan Rem ABS KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System).

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) Showa SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) dan penyerap hentak tunggal juga daripada jenama Showa dengan ciri pelarasan (belakang).

Di bahagian trenkuasa, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) yang sudah mematuhi piawaian emisi Euro5 ini kekal dengan enjin bersesaran 636 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac Assist & Slipper.

Angka kuasa yang dihambuirkan adalah 124 PS pada 13,500 rpm (Tanpa Ram Air) dan 129 PS (Ram Air Diaktifkan) dan tork 69 Nm pada 11,000 rpm.

Ciri-ciri lain yang berubah termasuklah penggunaan lampu depan projektor LED, panel meter TFT berwarna 4.3 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.