FRANCESCO Bagnaia mendedahkan situasi yang dilihat menjadi 'punca' dia terlepas gelaran ketiga berturut-turut MotoGP pada musim ini.
Berakhir kempen MotoGP 2024 di Barcelona, pelumba Ducati Lenovo itu hanya ketingalan 10 mata daripada juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin.
Berdasarkan angka kemenangan, apa yang diraih pelumba Itali itu jauh lebih baik berbanding Martin dengan 11 kemenangan GP berbanding 3 oleh pencabarnya itu.
Begitupun, kegagalan untuk memungut sebarang mata dalam lapan perlumbaan (termasuk Perlumbaan Sprint) menyaksikan peluangnya terkubur.
Dan anak didik legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi itu mula menyedari gelaran akan terlepas daripada genggamannya selepas terjatuh pada Perlumbaan Sprint di Malaysia.
"Saya akan menerimanya (kekalahan) dalam tempoh beberapa hari," kata Bagnaia. "Tetapi selepas kemalangan di Malaysia, saya faham yang ia akan menjadi lebih sulit.
"Untuk meraih 29 mata amat sukar.
"Tetapi saya cuba melakukan semaksimum mungkin, menjuarai semua baki perlumbaan dan saya fikir ia adalah semaksimum yang boleh saya buat."
Dan Bagnaia memang mengotakan kata-katanya dengan menjuarai ketiga-tiga baki perlumbaan di Malaysia dan di Barcelona tetapi kemampuan Martin untuk kekal di atas litar menyaksikan tiada apa yang boleh dilakukannya.
"Jorge melakukan kerja yang lebih baik. Dari sudut konsistensi dia lebih baik, dia menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua sebanyak 16 kali musim ini, jadi ia sesuatu yang menakjubkan.
"Pada sudut kami, kami hanya kurang bernasib baik dan saya juga melakukan beberapa kesilapan, jadi sukar untuk membayangkan menjuarai gelaran dengan lapan 'kosong'.
"Kami masih mengatasi jumlah mata yang diperoleh musim lalu sekalipun lapan kali pulang dengan tangan kosong. Jadi saya fikir kami melakukan kerja yang amat baik, kami hampir mendominasi perlumbaan dari sudut kemenangan, tetapi ia tidak mencukupi."