JATUH Tak Halang Hakim Danish Naik Podium Di Le Mans
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/11/20251 min read


KEBANGKITAN mengagumkan dipamer pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli pada Perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Le Mans, Perancis, hari ini yang menyaksikannya sekali lagi menyambar kedudukan podium.
Terjatuh di awal perlumbaan, ia tidak menghalang pelumba muda negara untuk bangkit dan melepasi garisan penamat sebagai naib juara. Dan ia adalah kedudukan ke-2 keempat berturut-turut buat pelumba kelahiran Terengganu itu selepas dua pusingan.
Berlangsung dalam keadaan litar basah, Hakim Danish yang memulakan perlumbaan di petak utama terjatuh seawal pusingan pertama dalam kemalangan yang turut membabitkan pemenang Perlumbaan 1, Brian Uriarte.
Tidak mengendahkan apa yang berlaku, pelumba berusia 17 tahun itu mengangkat kembali jenteranya untuk menyertai perlumbaan.
Lebih mengagumkan, sekali pun dia berada di posisi ke-18 pada satu ketika, Hakim Danish membuktikan kemampuan yang dimilikinya terutama di litar basah untuk mengejar kembali kedudukan podium.
Dan ketika kedudukan tempat ketiga hampir dimenangi, kemalangan yang menimpa pelumba Australia, Charter Thompson menyaksikannya Hakim Danish meraih tempat kedua.
Secara keseluruhan, hanya 15 pelumba berjaya menamatkan saingan yang dipenuhi dengan insiden kemalangan, termasuk pelumba Sepanyol Uriarte yang tidak dapat meneruskan perlumbaan selepas jenteranya mengalami kerosakan.
Apa yang menarik, keputusan turut menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu kembali merampas kedudukan pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 80 mata.
Pusingan ketiga RBMRC dijadual berlangsung di Aragon, Sepanyol pada 7 dan 8 Jun depan.
