JAUH Lebih Baik Berbanding Tahun Lalu - Hafizh Syahrin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/11/20241 min read

PERBEZAAN yang amat ketara. Itu antara yang terkeluar daripada mulut pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada penampilan semulanya di pentas WorldSBK di Pusingan 7 WSBK 2024 di Portimao, Portugal.

Pada Perlumbaan 1 yang berlangsung awal pagi tadi (waktu tempatan), Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak ke-19 berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-18.

Sekalipun ia tidak memberinya mata kejuaraan, pelumba pasukan JDT Racing Team dan beraksi dengan tiket 'Wildcard' mengakui segala-galanya berjalan lancar sekalipun terdapat beberapa kekurangan.

"Syukur Alhamdulillah kami menamatkan perlumbaan. Semuanya berjalan dengan baik," kata pelumba kelahiran Selangor itu dalam laman media sosial rasmi pasukannya, JDT Racing Team.

"Seperti kita tahu, kami tidak mendapat masa yang mencukupi bersama jentera pada sesi latihan bebas 1 dan 2 dan jentera ini juga tidak mudah untuk difahami dalam tempoh yang singkat.

"Apabila saya melakukan sesi latihan bebas 3, saya dapat rasakan yang jentera ini amat berbeza namun perasaan saya cukup bagus malah kami bertambah baik daripada setiap sesi termasuk ketika perlumbaan.

"Jika dibandingkan jurang ketika bersama pasukan saya pada tahun lalu, kami meningkat dengan banyak."

Mengulas lanjut, bekas pelumba MotoGP negara itu turut berterima kasih kepada pasukannya yang bekerja keras bagi menyediakan jentera terbaik sekalipun mengakui masih ada yang perlu dipertingkatkan.

"Apapun, kami perlu terus melakukan penambah baikkan lebih lagi terutama di bahagian belakang kerana pada pertengahan perlumbaan, tidak mudah untuk saya menguruskan perlumbaan.

"Esok (hari ini) adalah hari yang berbeza dan kami masih boleh meningkat. Ayuh lihat apa yang boleh kami lakukan. Saya harap dapat bertambah baik."