JAWAPAN Tiada Kelibat Modenas Z15GT Di Grid Perlumbaan CP150 Di Tangkak!

Kehadiran Modenas Z15GT pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2026 tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila pasukan EASTEL TKKR Racing Team tidak layak beraksi pada perlumbaan akhir pusingan pembukaan di Tangkak, Johor pada Ahad

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/28/20262 min read

PENAMPILAN sulung jentera Modenas Z15GT pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2026 tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila pasukan EASTEL TKKR Racing Team tidak layak beraksi pada perlumbaan akhir pusingan pembukaan di Tangkak, Johor pada Ahad.

Berdasarkan peraturan, ketiga-tiga pelumbanya yang beraksi dalam kelas perdana CP150 iaitu Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff, Md Harith Farhan Baharin, dan Md Aliff Danial M Asri terpaksa berputih mata selepas catatan masa pusingan ketika kelayakan tidak melepasi had kelayakan yang ditetapkan.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi pasukan, pihak pengurusan EASTEL TKKR Racing Team menjelaskan yang mereka berdepan kekangan masa apabila jentera itu perlu disiapkan dalam tempoh masa yang sangat singkat, dan secara asasnya ia masih berstatus spesifikasi standard

Begitupun, pasukan itu tetap optimis memandangkan pelumba mereka berjaya mempamerkan peningkatan catatan masa yang konsisten pada setiap sesi, sekali gus membuktikan pembangunan jentera baharu itu berada di landasan yang tepat.

"Pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1), ketiga-tiga pelumba merekodkan masa 48 saat. Masuk ke sesi Kelayakan 1 (Q1) masa berjaya diturunkan kepada 47.5 saat, dan seterusnya 46.7 saat pada Kelayakan 2 (Q2).

"Namun, untuk sekurang-kurangnya layak ke pentas final, masa yang perlu dicatatkan oleh pelumba adalah 46.2 saat."

Mengulas mengenai punca utama kelewatan rentak jentera, pasukan EASTEL TKKR mengakui mereka turun berlumba dengan 'apa yang ada' berikutan ketiadaan komponen perlumbaan khusus untuk jentera baharu itu di pasaran ketika ini.

Keadaan itu memberi kelebihan ketara kepada pasukan lawan yang menggunakan jentera berbeza, memandangkan regulasi teknikal kelas CP150 membenarkan pasukan melakukan modifikasi prestasi yang ekstrem.

"Perlu diingat ini bukan kategori Pro-Am (amatur). Di kelas CP150, setiap jentera dibenarkan untuk mengubah suai bahagian piston dan kotak gear. Masih tiada komponen untuk kami buat masa ini, namun ia akan diusahakan."

Menyedari ketiadaan mereka di petak permulaan akan mengundang kritikan 'pakar papan kekunci' di media sosial, pasukan itu enggan melatah dan sudah menjangkakan situasi itu.

Sebaliknya, EASTEL TKKR menjadikan ujian awal (shakedown) di Tangkak ini sebagai pendedahan berguna dan memberi amaran akan bangkit memberi saingan pada pusingan kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) nanti.

Sebagai info, kerjasama EASTEL TKKR Racing Team dengan Modenas di pentas Cub Prix adalah tidak rasmi dan bukan berstatus pasukan 'kilang'.